PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad, telah berjaya menganjurkan acara Jelajah Warisan KL yang julung kali diadakan di Stadium Merdeka yang bersejarah. Penganjuran ini membuka lembaran baharu sebagai permulaan kepada siri jelajah di seluruh ibu kota, dengan matlamat mengeratkan hubungan masyarakat terhadap budaya dan sejarah Kuala Lumpur.

Sebagai sebahagian daripada agenda pemulihan Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL) yang lebih luas, inisiatif ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk badan kerajaan, GLC, GLIC, rakan warisan serta komuniti tempatan bagi memperkukuh pemahaman terhadap identiti Kuala Lumpur. Pada masa yang sama, program ini turut menzahirkan nilai-nilai Ekonomi MADANI seperti keterangkuman, harga diri, kemakmuran bersama dan pemuliharaan budaya.

Merdeka 118 yang melambangkan kemajuan moden Malaysia menjadi destinasi pertama dalam siri Jelajah Warisan KL. Melalui aktiviti berjalan kaki ke mercu tanda penting di sekitarnya, program ini menghubungkan semula pihak berkepentingan dengan zon tumpuan Warisan KL, sambil mengetengahkan kepentingan sejarah dan budaya, kejayaan pemuliharaan serta transformasi berterusan presint tersebut dalam membentuk kehidupan, pelancongan dan identiti komuniti. Pendekatan berasaskan komuniti ini memastikan warisan bukan sahaja dilihat, malah turut dihayati, dirasai dan dimiliki oleh masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Dato’ Ir. Ts. Izwan Ibrahim, berkata bahawa Jelajah Warisan KL bukan sekadar aktiviti berjalan kaki berpandu, sebaliknya satu usaha mengajak rakan dan komuniti untuk meneroka semula serta menghargai ruang-ruang yang membentuk sejarah ibu kota. Menurut beliau, pengalaman bersama di tapak warisan dapat memupuk rasa bangga dan tanggungjawab, di samping menggalakkan pemilikan bersama dalam memastikan kelestarian warisan presint Merdeka 118 untuk generasi akan datang.

Inisiatif ini turut memperlihatkan bagaimana mercu tanda bersejarah seperti Stadium Merdeka dapat wujud secara harmoni bersama pembangunan moden seperti Menara Merdeka 118, sekali gus menggambarkan gabungan kukuh antara warisan masa lalu dan aspirasi masa depan. Program ini juga mencerminkan komitmen berterusan PNB dan PNBMV dalam menyokong usaha memartabatkan warisan budaya serta memperkasa komuniti Kuala Lumpur.

Acara ini dihadiri oleh wakil-wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, termasuk Tuan Shamshul Joehari, Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek, serta Encik Khairul Anuar daripada Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar. Turut hadir ialah ahli jawatankuasa kerja Warisan KL yang diketuai oleh Dato’ Mohamed Nasri Sallehuddin, selain wakil daripada Jabatan Warisan Negara dan Think City Sdn. Bhd. Penyertaan komuniti turut melibatkan penduduk dari kawasan sekitar presint Merdeka 118 seperti Perumahan Awam Seri Sarawak, Jalan Hang Tuah, Loke Yew dan Seri Selangor, serta institusi seperti Persekutuan Pengakap Malaysia, Victoria Institution dan Sekolah Kebangsaan Jalan Hang Tuah.

Para peserta menikmati pengalaman lawatan berjalan kaki berpandu di Stadium Merdeka, diikuti kunjungan ke Bazram Merdeka untuk mendapatkan juadah berbuka puasa daripada pelbagai gerai, serta sesi bergambar di Look at 118 sebelum berbuka puasa bersama di padang stadium yang bersejarah. Program ini diakhiri dengan solat Maghrib di Masjid Al-Sultan Abdullah.

Secara keseluruhannya, detik-detik yang dikongsi sepanjang program ini mencerminkan semangat Warisan KL, di mana tapak-tapak warisan terus dihidupkan melalui aktiviti komuniti, tradisi budaya dan kenangan bermakna yang dikongsi bersama.