Rocketfuel Entertainment meraikan Aidilfitri tahun ini dengan penuh warna-warni menerusi inisiatif istimewa “Macam Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment”, yang menghimpunkan pelbagai pencapaian membanggakan serta pengumuman eksklusif melibatkan barisan artis di bawah naungan mereka.
Kempen Raya tahun ini mencatat kejayaan luar jangkaan apabila tujuh lagu Raya terbitan Rocketfuel berjaya meraih lebih 13 juta penstriman digital secara keseluruhan, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai antara peneraju kandungan hiburan tempatan yang dekat dengan citarasa semasa. Antara lagu tersebut termasuk “Rindu Raya” (ALPHA), “Kampung Kita” (Wani Kayrie), “Raya Macam Raya” (Hael Husaini x ALPHA), “Duit Raya” (Sharul Kamal & Mierul Aiman), “Senyum Gugur Di Penghujung Doa” (Dayang Nurfaizah), “Restu Raya” (Nadeera), dan “Lagu Raya Untukmu” (Hael Husaini).
Meneruskan momentum tersebut, Rocketfuel Entertainment turut memperkenalkan barisan pelancaran muzik baharu sepanjang tahun ini. Bintang meningkat naik, Qal G, tampil dengan single terbaharu “Seharusnya Aku” yang merupakan kesinambungan kepada debutnya “Sepi”. Qal G sebelum ini merupakan finalis program Big Stage Alpha yang menjadi platform penting dalam mengetengahkan bakatnya. Seorang lagi peserta program sama, Awienit, turut bakal melangkah ke industri rakaman menerusi single sulungnya di bawah Rocketfuel Entertainment tidak lama lagi.
Di peringkat antarabangsa, duo vokal lelaki dari Korea Selatan, HoonDoo, telah melancarkan lagu baharu berjudul “Jejak Yang Tertinggal” sebagai runut bunyi (OST) bagi drama bersiri “Dendam Seorang Mentua” yang dilancarkan pada 15 April 2026. Dalam perkembangan lain, penyanyi popular Wani Kayrie kini sedang giat membuat persiapan ke pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-40 (SFMM40) menerusi lagu viralnya “Cak Cak Cekuk” yang telah meraih lebih 12 juta tontonan di YouTube dan 2.9 juta penstriman di Spotify. Menurut Wani Kayrie, persiapan rapi sedang dilakukan dari segi vokal, persembahan dan emosi bagi memberikan persembahan terbaik, sambil menyifatkan sokongan terhadap lagu tersebut sebagai sumber motivasi utama.
Sementara itu, Nadeera bakal melancarkan single terbaharu berjudul “Cuba Jadi Aku” pada Jun 2026, manakala Hael Husaini turut merancang kolaborasi baharu pada tahun ini.
Dalam perkembangan dunia lakonan dan kandungan digital, Rocketfuel Entertainment terus memperkukuh kehadirannya merentas pelbagai platform. Pelakon dan penyanyi Mierul Aiman bakal muncul dalam filem “Tarung” bersama Zul Ariffin, manakala Fazziq Muqris akan membintangi filem “Kata Hati”. Finalis Dewi Remaja 2023, Qistina Rania, pula bakal muncul dalam filem “Darah Gagap”, sementara Bella Dowanna akan membintangi siri “Ate Kome” di platform Viu. Evertts Gomes dan Hawa Rizwana juga bakal digandingkan dalam siri romantik “PL I Love You”.
Pelakon baharu berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Arabella Ellen, akan membintangi drama “Wishlist” arahan Michael Ang yang disiarkan di slot MegaDrama Astro Ria, selain turut aktif dalam beberapa drama mikro di platform Sooka bersama artis di bawah naungan Rocketfuel Entertainment. Dalam masa sama, Rocketfuel turut memperkenalkan atlet bola sepak wanita negara, Qaseh Rania, sebagai wajah baharu di bawah naungan mereka, mencerminkan komitmen syarikat dalam mengetengahkan bakat daripada pelbagai latar belakang.
Kejayaan kempen dan kandungan Rocketfuel turut menarik perhatian pelbagai jenama besar termasuk Vida, KFC, Shell, Bath & Body Works, Lepas Malaysia dan U Mobile, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik pada masa hadapan.
Sementara itu, drama “Dendam Seorang Mentua” yang menampilkan lagu “Jejak Yang Tertinggal” nyanyian HoonDoo akan mula ditayangkan pada 4 Mei 2026, Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima. Drama ini mengisahkan Sofia yang bersetuju untuk berkahwin dengan Muzaffar, bapa kepada Hariz yang merupakan bekas kekasihnya, semata-mata untuk membalas dendam. Ia dibintangi oleh Dato’ Aaron Aziz, Datuk Yusry A. Halim dan Tracie Sinidol.
Menurut Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Rajahram Anand, “Macam Macam Raya” mencerminkan kekuatan jenama Rocketfuel dalam menghasilkan kandungan yang dekat dengan rakyat serta meraikan penerimaan luar biasa terhadap karya artis mereka. Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, berkata tahun ini merupakan antara yang paling signifikan kerana bukan sahaja melancarkan pelbagai karya baharu, malah turut memperluaskan portfolio artis merentasi pelbagai platform. Ketua A&R Rocketfuel Entertainment, Pasha Ahmad, pula menambah bahawa setiap pelancaran dirancang dengan teliti bagi memastikan ia memberi impak jangka panjang kepada industri dan perkembangan artis.



0 Comments
Post a Comment