Gelombang Wali Band kini melanda Kuala Lumpur apabila hampir 90 peratus tiket konsert mereka telah habis terjual, sekali gus mencerminkan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan persembahan secara langsung. Dengan sambutan yang amat menggalakkan, Konsert Wali Kembali dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti-nantikan, khususnya selepas peminat tidak berpeluang menikmati sepenuhnya lagu-lagu hit seperti ‘Aku Bukan Bang Toyib’, ‘Tobat Maksiat’, ‘Yank’, ‘Cari Jodoh’ dan ‘Baik-Baik Sayang’ dalam konsert RadjaWali yang berlangsung awal tahun ini.
Konsert anjuran GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures itu akan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2026. Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, berkata sambutan luar biasa terhadap konsert ini amat membanggakan dan di luar jangkaan. Beliau menyatakan pihaknya berbesar hati dengan sokongan padu peminat di Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa muzik Wali Band masih relevan dan dekat di hati ramai. Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan serta menegaskan komitmen untuk menyediakan pengalaman konsert yang lebih berkualiti, bukan sahaja dari segi produksi tetapi juga kepuasan penonton.
Wali Band yang dianggotai Faank sebagai vokalis, Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) turut meluahkan keterujaan untuk menjayakan konsert solo mereka di Kuala Lumpur. Menurut Faank, respon dan energi luar biasa daripada peminat di Sabah ketika konsert solo di Kota Kinabalu awal bulan ini sangat mengagumkan, seolah-olah mereka beraksi di hadapan penonton di Indonesia. Mereka berharap dapat menerima sambutan dan energi yang sama di Kuala Lumpur, di samping berjanji akan memberikan persembahan terbaik seperti yang pernah dipamerkan sebelum ini. Katanya lagi, konsert solo kali ini merupakan satu penghormatan besar buat mereka, selain peluang untuk menghiburkan peminat dan menebus kekecewaan dengan mempersembahkan rangkaian lagu hit mereka.
Dalam pada itu, Wali Band tampil lebih bersedia untuk menghadirkan pengalaman konsert yang lebih lengkap dan bertenaga menerusi rangkaian lagu popular yang mudah dinyanyikan bersama, selain susunan muzik yang lebih segar serta interaksi yang lebih dekat dengan peminat. Peminat disarankan hadir seawal jam 4 petang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas berikutan acara besar lain di sekitar Bukit Jalil, selain berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik di luar perkarangan stadium termasuk persembahan muzik oleh DJ.
Dengan baki tiket yang semakin terhad, orang ramai digesa mendapatkan tiket segera bagi mengelakkan kekecewaan. Tiket boleh dibeli menerusi laman web www.ilassotickets.com, manakala maklumat terkini boleh diperoleh melalui media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram. Konsert ini turut mendapat sokongan Era FM, Sinar dan THR Gegar sebagai rakan radio rasmi, serta Astro Gempak sebagai portal rasmi.

.jpeg)
0 Comments
Post a Comment