Siapa yang tak kenal dengan alunan suara emas Nazrey Johani? Kalau korang membesar zaman 90-an dulu, lagu-lagu nasyid dorang mesti selalu bermain di telinga. Berita baik untuk korang, kumpulan legenda ini kini kembali dengan identiti baharu, The Rayhan, dan dorang baru saja mengumumkan sesuatu yang cukup besar!

Dalam satu sidang media yang berlangsung penuh santai di Top G Coffee & Cafe, Publika semalam (22 April), The Rayhan secara rasminya mengumumkan penganjuran ‘Konsert The Rayhan Syukur 2026’. Konsert ini dijadualkan bakal menggegar Hall A, MAEPS, Serdang pada 15 Ogos 2026 nanti. Memang satu berita yang ditunggu-tunggu oleh peminat irama nasyid kontemporari tanah air!

Kemunculan semula ini bukan biasa-biasa tahu? Ia merupakan penyatuan semula Nazrey Johani bersama dua sahabat baiknya, Amran Ibrahim dan Afad Ahmad. Menurut Nazrey, penjenamaan semula sebagai The Rayhan ini bertujuan untuk memberi nafas baharu kepada lagu-lagu dorang supaya lebih segar dan relevan untuk generasi muda sekarang, tapi pada masa yang sama tetap mengekalkan "vibe" asal yang kita semua rindu.

Apa yang menariknya tentang Konsert Syukur 26 ni? Selain daripada susunan muzik baharu untuk lagu-lagu lejen macam Iman Mutiara, Demi Masa, dan Syukur, penonton juga bakal disajikan dengan "Odisi Visual" menggunakan teknologi projection mapping. Bayangkan, korang dengar vokal harmoni dorang sambil dihidangkan dengan paparan visual kembara seni dorang. Memang syahdu habis!

Bukan itu saja, bakal ada penampilan kejutan daripada artis-artis jemputan ternama yang juga terinspirasi dengan muzik The Rayhan. Dengan sistem audio premium yang bakal disediakan, dorang janji nak bagi kualiti bunyi paling best untuk peminat yang hadir. Kata dorang, konsert ini adalah cara dorang nak cakap "terima kasih" kepada Allah SWT dan juga peminat yang tak putus-putus menyokong dari dulu sampai sekarang.

Jadi, buat korang yang dah mula rasa rindu nak "healing" secara spiritual, pastikan korang tanda kalendar siap-siap! Tiket untuk Konsert The Rayhan: Syukur 26 akan mula dijual pada hari Jumaat, 1 Mei 2026 secara online di rayhan.ubertickets.asia.

Jangan lambat-lambat tau, takut tiket habis disambar peminat tegar yang lain. Jom kita penuhkan MAEPS Ogos nanti dan sama-sama raikan detik kesyukuran ini dengan The Rayhan!