Demam JOY SPLASH melanda Zepp Kuala Lumpur pada 25 April lalu apabila lebih 1,500 peminat berkumpul menyaksikan konsert solo pertama bintang K-Pop popular, Joy. Membuka tirai dengan lagu Hello, Joy membuktikan vokal dan pesonanya masih berada dalam kelas tersendiri, sekali gus mengubat rindu peminat setia yang telah lama menanti kehadirannya di Malaysia.

Malam tersebut terus hangat dengan rangkaian lagu hit seperti Je T’aime dan La Vie En Bleu, selain untaian OST drama popular yang memukau emosi penonton. Tidak hanya vokal, Joy turut menggegarkan pentas dengan tenaga luar biasa menerusi aksi tarian lagu-lagu ikonik Red Velvet seperti Red Flavor dan Peek-a-Boo, membuktikan kualitinya sebagai penghibur serba boleh.

Momen paling berimpak berlaku apabila seorang peminat mengaku karya Joy menjadi "penyelamat" buat kesihatan mentalnya, membuktikan pengaruh besar idola ini dalam menyebarkan aura positif. Dengan segmen interaktif yang intim dan persembahan acapela yang padu, Joy menyifatkan pertemuan di Kuala Lumpur ini sebagai antara momen terbaik dalam siri jelajah Asianya.

Kejayaan Joy Splash melengkapkan rentetan jelajah solo ahli Red Velvet yang lain ke tanah air sebelum ini. Kini, tumpuan ReVeluvs pastinya terarah kepada impian melihat kesemua ahli kumpulan itu kembali bersatu di atas satu pentas yang sama tidak lama lagi. Memang padu, intim, dan berbekas di hati!