Legenda rock tanah air, Dato’ Awie, bakal mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi penganjuran konsert berskala mega AWIE ROCK KING - LAST MAN STANDING 2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September 2026. Konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide dengan kerjasama Ultimate Media ini akan menampilkan persembahan solo epik yang menghimpunkan perjalanan seni beliau sepanjang empat dekad sebagai penyanyi dan artis rakaman profesional dalam industri muzik tempatan. Bermula pada jam 8.30 malam, konsert ini dijangka menjadi antara persembahan paling berprestij dengan gabungan elemen muzik, naratif serta produksi berskala besar di sebuah pentas ikonik.

Menurut Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari atau Bombay, kolaborasi bersama Dato’ Awie bukanlah sesuatu yang baharu kerana hubungan profesional mereka telah terjalin hampir empat dekad. Sepanjang tempoh itu, beliau aktif dalam penerbitan konsert manakala Dato’ Awie terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara ikon utama industri muzik tanah air. Kerjasama sejak era Wings, seterusnya ke perjalanan solo dan pelbagai fasa evolusi seni Dato’ Awie telah mewujudkan keserasian yang kukuh dalam menghasilkan persembahan berkualiti tinggi. Tajuk “Last Man Standing” melambangkan keteguhan beliau menghadapi pelbagai cabaran, perubahan zaman dan transisi kerjaya, manakala gelaran “Rock King” mencerminkan sumbangan besarnya dalam membentuk perkembangan muzik rock di Malaysia, sama ada sebagai penyanyi kumpulan mahupun solo.


Dato’ Awie menyifatkan konsert ini sebagai satu penghargaan besar terhadap perjalanan seninya yang telah menjangkau lebih 40 tahun. Baginya, konsert tersebut bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi satu refleksi terhadap jatuh bangun serta evolusi yang dilalui sepanjang karier. Beliau turut meluahkan rasa terharu atas sokongan berterusan daripada peminat sejak era awal bersama Wings sehingga ke perjalanan solo kini, yang telah membentuk dirinya menjadi lebih matang dan kental dalam menghadapi perubahan industri. Beliau berharap konsert ini mampu memberikan pengalaman bermakna kepada penonton di samping meraikan legasi muzik rock yang terus hidup dan relevan merentasi generasi, serta menjadi dedikasi istimewa buat semua yang setia menyokong perjalanan seninya.

Konsert ini mengangkat konsep penceritaan yang menelusuri perjalanan seni Dato’ Awie yang sarat dengan keteguhan dan evolusi. Ia merakam kisah jatuh bangun beliau sejak era awal bersama kumpulan, seterusnya ke fasa solo hingga ke perubahan landskap industri muzik tempatan. Dalam naratif ini, Dato’ Awie menjadi watak utama yang melambangkan seorang anak seni yang terus berdiri teguh di pentas tanpa mengira cabaran zaman, sambil mengekalkan identiti serta keaslian seninya. Konsep “Last Man Standing” turut menonjolkan kekuatan seorang legenda yang mampu bertahan dan kekal relevan serta dihargai oleh pelbagai generasi.

Dari sudut persembahan, konsert ini akan menampilkan puluhan pemuzik berpengalaman serta barisan penyanyi undangan terkenal sebagai penghormatan kepada perjalanan 40 tahun seni Dato’ Awie. Penglibatan artis jemputan merangkumi generasi lama dan baharu, dengan setiap daripada mereka membawakan lagu-lagu ikonik sebagai tanda penghargaan terhadap legasi beliau. Susunan repertoir dirangka bagi membawa penonton menyusuri evolusi muziknya dengan menggabungkan elemen nostalgia dan pendekatan segar, sekali gus mencipta pengalaman yang lebih dinamik dan bermakna.

Pemuzik yang terlibat terdiri daripada individu berkaliber dengan latar belakang pelbagai genre seperti rock, pop dan lain-lain, sekali gus memberikan warna tersendiri kepada setiap segmen persembahan. Pendekatan ini menjadikan keseluruhan perjalanan muzik lebih segar dan bertenaga. Susunan muzik pula dibentuk melalui kolaborasi kreatif bersama pemuzik profesional bagi menghasilkan interpretasi baharu terhadap karya-karya Dato’ Awie, seterusnya memberikan pengalaman yang unik kepada penonton dalam menghayati setiap persembahan.

Sebagai penerbit dan pengarah konsert, Bombay menegaskan bahawa matlamat utama penganjuran ini adalah untuk memastikan konsert tersebut mencapai standard tertinggi serta memberikan kepuasan kepada penonton. Beliau berharap konsert ini mampu menjadi sebuah karya berimpak tinggi dan berpotensi diangkat sebagai antara yang terbaik dalam industri muzik tempatan. Selain itu, ia juga diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan standard penganjuran konsert pada masa hadapan dari segi produksi, kreativiti dan keseluruhan pengalaman. Pihak penganjur turut berharap konsert ini akan dikenang sebagai sebuah persembahan istimewa yang bukan sahaja menghimpunkan ramai artis dan pemuzik di satu pentas, tetapi juga memberikan pengalaman yang bermakna kepada penonton.


Konsert AWIE ROCK KING - LAST MAN STANDING 2026 ini turut mendapat sokongan daripada rakan media rasmi iaitu ERA FM, Sinar FM dan GEGAR sebagai radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai portal digital rasmi bagi memastikan liputan menyeluruh menjelang acara tersebut. Harga tiket ditawarkan dalam pelbagai kategori bermula daripada RM98 hingga RM1198, manakala pakej tempat duduk khas seperti couple seat ditawarkan pada harga RM2998 dan meja untuk empat orang pada harga RM5998. Sebarang pembelian tiket serta maklumat lanjut mengenai kedudukan tempat duduk boleh diperoleh melalui platform iLasso Tickets.