Dikenali dengan tona vokal "serak-serak basah" yang menjadi tanda dagangnya, Adam bukanlah sekadar wajah tular yang mengejar populariti singkat. Perjalanan seninya dibentuk daripada realiti kehidupan yang sangat membumi. Sebelum melangkah ke studio rakaman profesional, Adam merupakan seorang pengusaha gerai makanan dan tukang gunting rambut di Kampung Baru. Pengalaman bekerja di lapangan dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat inilah yang memberikan "jiwa" kepada setiap bait lirik yang ditulisnya.
Bercerita mengenai naskhah sulungnya, “Alasan” bukanlah sebuah lagu yang tercipta dengan perancangan rapi pada mulanya. Segalanya bermula daripada satu momen spontan berdurasi 30 saat ketika sesi jamming yang kemudiannya menjadi tular. Melihat kepada impak dan hubungan emosi yang terbina daripada klip pendek tersebut, Adam sedar bahawa cerita ini perlu disempurnakan. Hasilnya, lahirlah sebuah karya hip-hop dengan sentuhan trap moden yang segar, hasil kolaborasi mantap bersama Kidd Santhe, Saixse, dan Altimet.
Apa yang menarik, “Alasan” lari daripada klise lagu patah hati yang sering kedengaran. Ia merupakan sebuah naskhah introspektif yang menyentuh tentang keberanian untuk memilih diri sendiri. Lagu ini bercerita tentang titik di mana seseorang itu berhenti memberi alasan untuk bertahan dalam perhubungan yang tidak lagi sihat dan memilih untuk melangkah pergi demi pertumbuhan kendiri. Mesej yang kuat ini turut diperkukuhkan lagi dengan visual sinematik hasil sentuhan pengarah kreatif, Kripxen.
Kini bergerak di bawah naungan SVLTAN Management dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, Adam Nuqris sudah bersedia untuk mengukir nama sebagai salah seorang bakat baharu yang perlu diberikan perhatian serius. “Alasan” kini sudah tersedia di semua platform penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube.
Bagi peminat muzik tempatan yang mencari kelainan dan kejujuran dalam berkarya, Adam Nuqris adalah jawapannya. Jangan lupa untuk terus menyokong bakat lokal kita!


0 Comments
Post a Comment