SATEERA®, sebuah syarikat bioteknologi tempatan, menerusi Yayasan Penjagaan Kesihatan Herstory baru-baru ini menganjurkan program Pendidikan V-Care di Taman Sinar Harapan Jubli Johor Bahru, iaitu sebuah pusat jagaan wanita kurang upaya di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan kesihatan intim serta menyediakan sokongan penjagaan kebersihan kepada komuniti terpinggir yang sering kurang mendapat perhatian dalam isu berkaitan kesihatan wanita.

Program yang dianjurkan bersama komuniti usahawan OE MDMT005 itu merangkumi sesi perkongsian ilmu untuk para penghuni pusat jagaan selain panduan praktikal mengenai penjagaan kebersihan kepada petugas dan kakitangan kesihatan yang bertugas di situ.

Golongan orang kurang upaya (OKU) sering berdepan cabaran berkaitan kebersihan haid, pengurusan kesihatan intim dan penjagaan diri. Namun begitu, akses kepada pendidikan yang sesuai, sokongan komunikasi serta penjagaan kebersihan jangka panjang masih lagi terhad.

Sebagai sebahagian daripada program ini, pihak penganjur turut mengadakan sesi pembelajaran interaktif yang disesuaikan mengikut tahap pemahaman para penghuni. Dalam masa sama, guru, jururawat dan petugas pusat jagaan mengikuti sesi perkongsian praktikal berkaitan amalan penjagaan dan sokongan kebersihan harian. Pakar Perunding Sakit Puan dan Perbidanan, Dr. Quek Yek Song, turut menyertai program tersebut bagi berkongsi pandangan mengenai kesihatan intim, kesedaran keselamatan diri serta kepentingan mendapatkan bantuan apabila diperlukan.


Selain program pendidikan, hampir 20 usahawan daripada komuniti OE MDMT005 turut komited menyumbangkan produk REDFORES Intimate Feminine Foam Wash setiap bulan kepada wanita di pusat jagaan tersebut. Produk penjagaan kebersihan intim itu dibangunkan menggunakan Teknologi Smart Anti-Infective oleh SATEERA®.

Pengerusi penganjur Yayasan Penjagaan Kesihatan Herstory, Allen Beh Wei Lun berkata, HERSTORY ditubuhkan dengan misi memperluaskan pendidikan kesihatan intim wanita selain membantu lebih ramai wanita memahami kepentingan memelihara bakteria baik dan memperkasa mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat serta bermaruah.

Menurut beliau, pendidikan hanyalah langkah pertama kerana aspek penjagaan jangka panjang, maruah diri dan sokongan berterusan juga perlu diberi perhatian khusus, terutama bagi komuniti yang sering terpinggir. Melalui HERSTORY, pihaknya berharap dapat memperluaskan akses kepada perbincangan dan sistem sokongan kesihatan intim untuk golongan yang paling memerlukan.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sekadar program khidmat masyarakat bersifat sekali sahaja, sebaliknya bertujuan menggalakkan sokongan berterusan serta meningkatkan kesedaran terhadap keperluan kebersihan dan penjagaan dalam kalangan golongan OKU.

Sementara itu, Pengasas SATEERA®, Dato’ Loh Shin Siong berkata, inovasi seharusnya mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup serta memberi manfaat kepada komuniti di luar makmal.

“Di SATEERA®, kami percaya sains dan teknologi bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada keberkesanan, tetapi juga aspek maruah, kesejahteraan dan perlindungan jangka panjang. Kami berharap inisiatif seperti ini dapat membantu membina pendekatan penjagaan kesihatan yang lebih inklusif dan berteraskan kemanusiaan,” katanya.