TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) terus memperkukuh strategi pembangunan bakat menerusi kerjasama baharu bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam usaha memperluaskan pembangunan profesional rangkaian perusahaan yang lebih tersusun dan relevan dengan keperluan industri di Malaysia.

Kerjasama ini melangkaui pendekatan akademik konvensional dengan menghubungkan institusi pengajian tinggi ke dalam ekosistem pembangunan bakat yang lebih menyeluruh. Melaluinya, pelajar bukan sahaja akan menerima latihan dan pensijilan profesional, malah turut dipersiapkan untuk memenuhi keperluan industri menerusi kemahiran yang relevan serta mendapat permintaan tinggi dalam sektor digital masa kini.

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai, kedua-dua pihak akan menjalinkan kerjasama selama tiga tahun dengan memberi fokus kepada integrasi keupayaan rangkaian perusahaan secara langsung dalam persekitaran akademik USIM. Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, TP-Link Malaysia akan melaksanakan penyelesaian rangkaian perusahaan Omada di makmal kampus berkenaan bagi membolehkan pelajar mengendalikan infrastruktur yang menyerupai sistem perusahaan sebenar.

Program itu dirangka bagi melangkaui pembelajaran teori semata-mata dengan menggabungkan latihan teknikal secara praktikal, bengkel berstruktur dan akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA). Pendekatan ini bertujuan memastikan pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan teknikal, malah memiliki kompetensi yang diiktiraf industri.

Kerjasama tersebut turut memberi penekanan kepada hubungan langsung dengan industri apabila pelajar akan ditawarkan peluang latihan industri dan penempatan latihan bersama TP-Link. Langkah itu dijangka memberi pendedahan praktikal yang lebih menyeluruh kepada pelajar selain membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan sebenar dunia pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia.


Pengarah Serantau TP-Link Malaysia, Hugo Cai berkata industri hari ini memerlukan bakat yang bukan sahaja memahami infrastruktur digital, tetapi juga mampu mengendalikannya secara efektif. Menurut beliau, pembangunan saluran bakat yang menghubungkan latihan, pensijilan dan pendedahan industri mampu mewujudkan laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan, sekali gus memastikan graduan lebih bersedia untuk memenuhi keperluan industri semasa.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa berkata kerjasama tersebut membolehkan universiti memperkukuh pendekatan pembelajaran dengan menerapkan elemen praktikal industri dalam pengalaman akademik pelajar. Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan graduan lebih bersedia menghadapi tuntutan ekonomi digital yang sentiasa berkembang, selain memperkukuh persediaan mereka untuk memasuki alam pekerjaan sebenar.

Kerjasama bersama USIM ini turut memperluaskan inisiatif terdahulu TP-Link Malaysia bersama Universiti Malaya dan Universiti Teknologi MARA dalam membentuk rangkaian institusi pendidikan yang berkongsi matlamat untuk melahirkan bakat dalam bidang rangkaian perusahaan. Pada tahun 2025, kira-kira 500 pelajar telah menyertai laluan pensijilan OCNA, sekali gus mencerminkan sambutan positif terhadap program yang sejajar dengan keperluan industri.


Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi turut merancang untuk meneroka kerjasama dalam bidang penyelidikan, penglibatan fakulti dan perkongsian pengetahuan bagi memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan industri.

Dalam usaha Malaysia memperkukuh pelaburan dalam infrastruktur digital, keupayaan untuk membangunkan serta menempatkan tenaga kerja mahir secara konsisten dilihat menjadi antara faktor penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mampan. Justeru, inisiatif yang menghubungkan pendidikan secara langsung dengan keperluan industri dijangka memainkan peranan semakin signifikan dalam membentuk tenaga kerja digital negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian perusahaan Omada oleh TP-Link, sila layari Omada by TP-Link