Visa, peneraju global dalam pembayaran digital, hari ini melancarkan program Visa Agentic Ready di seluruh Asia Pasifik termasuk Malaysia. Program global ini diperkenalkan bagi menyokong ekosistem pembayaran dalam era perdagangan berejen yang semakin berkembang.
Dalam fasa pertama pelaksanaannya, Visa Agentic Ready memberi tumpuan kepada kesediaan pengeluar dengan menyediakan pendekatan berstruktur untuk menguji, mengesahkan dan memahami transaksi yang dimulakan oleh ejen AI dalam persekitaran terkawal bertaraf pengeluaran. Program ini membolehkan pengeluar memahami bagaimana ejen AI boleh memulakan dan melengkapkan transaksi bagi pihak pengguna, selain menguji tahap kesediaan mereka untuk menyokong perdagangan berejen tanpa menjejaskan aspek kepercayaan, kawalan dan perlindungan yang menjadi tunjang utama rangkaian Visa.
Pengurus Negara Visa Malaysia, Previn Pillay berkata, ketika perdagangan semakin bergerak ke arah automasi, elemen kebolehpercayaan, keselamatan dan kawalan pengguna menjadi semakin penting. Menurut beliau, Visa Agentic Ready menyediakan pendekatan yang praktikal dan tersusun kepada pengeluar di Malaysia untuk memahami bagaimana pembayaran yang dimulakan oleh ejen boleh berfungsi dalam rangkaian Visa sebelum pengalaman tersebut diperluaskan secara lebih meluas.
Beliau turut menjelaskan bahawa Visa kini bekerjasama dengan peniaga, platform dan rakan teknologi di peringkat global bagi membolehkan penggunaan perdagangan berpacukan ejen yang dipercayai. Langkah ini bertujuan memastikan pengalaman tersebut dapat diintegrasikan secara lancar ke dalam keseluruhan ekosistem apabila teknologinya semakin matang. Menurutnya, pendekatan ini membantu memastikan inovasi berkembang secara bertanggungjawab sambil pengguna terus mempunyai kawalan terhadap bagaimana dan bila pembayaran dilakukan.
Visa Agentic Ready dipacu oleh keupayaan teras rangkaian Visa yang menggabungkan token, identiti, pengurusan risiko dan kawalan bagi menentukan bagaimana pembayaran dimulakan oleh ejen yang dipercayai boleh digunakan dalam pelbagai situasi. Inisiatif ini turut memanfaatkan Visa Intelligent Commerce, iaitu portfolio penyelesaian dan inisiatif Visa yang menyediakan pengalaman perdagangan berpacukan AI secara selamat dan dipercayai pada skala besar.
Bagi merealisasikan perdagangan berejen secara lebih meluas, Visa menekankan kepentingan kerjasama merentas ekosistem pembayaran. Sehubungan itu, beberapa rakan kerjasama daripada 10 pasaran di rantau Asia Pasifik telah menyertai program Agentic Ready termasuk Alliance Bank Malaysia Berhad, CIMB Bank Berhad, Hong Leong Bank dan Maybank di Malaysia. Visa menjangkakan lebih ramai rakan kerjasama akan turut serta apabila program ini diperluaskan kepada lebih banyak peniaga dan pemain ekosistem.
Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Alliance Bank Malaysia Berhad, Gan Pai Li berkata, persediaan untuk pembayaran yang dimulakan oleh ejen tidak boleh dilakukan secara bersendirian oleh institusi kewangan. Menurut beliau, program seperti Visa Agentic Ready membolehkan pihak bank menguji dan memahami aliran transaksi baharu ini sebagai sebahagian daripada ekosistem pembayaran yang lebih luas dan dipercayai.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia dan CIMB Bank Berhad, Gurdip Singh Sidhu pula berkata teknologi AI kini sedang membentuk semula tingkah laku pengguna dan model perniagaan dengan pantas. Beliau berkata, Visa Agentic Ready mencerminkan visi CIMB untuk menawarkan pengalaman perbankan yang lebih intuitif dan terintegrasi dalam kehidupan harian, selain menyediakan pendekatan berstruktur untuk menguji, mempelajari dan bersedia menghadapi pembayaran yang dimulakan oleh ejen AI. Pendekatan itu membolehkan CIMB menawarkan perkhidmatan berasaskan AI secara selamat dan bertanggungjawab sambil mengekalkan tahap keyakinan serta kawalan yang diharapkan pelanggan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi Hong Leong Bank, Andrew Jong berkata pembayaran yang dimulakan oleh ejen memperkenalkan dimensi baharu terhadap cara transaksi dimulakan dan ditadbir. Menurut beliau, Visa Agentic Ready memberi peluang kepada institusi kewangan untuk mengesahkan senario pembayaran baharu lebih awal, memahami implikasinya dalam situasi sebenar serta menilai bagaimana ia boleh disokong secara bertanggungjawab sebelum diterima secara lebih meluas.
Ketua Kad, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, B. Ravintharan A/L K. Balakrishnan pula berkata kebolehpercayaan kekal menjadi faktor utama dalam kemunculan kaedah pembayaran baharu. Beliau menjelaskan bahawa Visa Agentic Ready membolehkan Maybank meneroka pembayaran dimulakan oleh ejen dalam persekitaran terkawal, sekali gus membantu membina keyakinan dan menilai bagaimana model tersebut boleh diskalakan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan keselamatan serta kawalan pelanggan.
Menerusi persekitaran ujian bertaraf pengeluaran yang terkawal, program ini memperlihatkan bagaimana pembayaran dimulakan oleh ejen boleh dilaksanakan dalam situasi dunia sebenar dan membantu pengeluar membina keyakinan terhadap kaedah pembayaran baharu yang semakin berkembang.
Inisiatif ini juga menyokong peralihan lebih luas Visa ke arah perdagangan pintar yang boleh diatur cara, di mana maklumat pengesahan dan keupayaan rangkaian yang dipercayai membolehkan pembayaran dilaksanakan secara selamat dan fleksibel berdasarkan niat, konteks serta kawalan pengguna. Dalam keadaan lebih banyak proses pembelian diautomasikan, pendekatan ini membantu memastikan ejen AI dapat bertindak secara lancar bagi pihak pengguna sambil memastikan kawalan utama kekal di tangan manusia.
Visa kini bekerjasama dengan platform dan pembangun AI, peniaga serta rakan ekosistem di seluruh dunia bagi membolehkan pelaksanaan pembayaran dimulakan oleh ejen secara selamat pada skala besar. Visa Agentic Ready membantu memastikan pengeluar bersedia untuk menyokong transaksi tersebut dengan yakin dan selamat.
Pelancaran di Asia Pasifik ini menyusuli pelancaran program berkenaan di Eropah sebelum ini dan dibangunkan berdasarkan maklum balas awal daripada rakan kerjasama global. Ketika ini, program tersebut tersedia di Australia, Hong Kong, Jepun, Malaysia, New Zealand, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam. Pihak yang berminat untuk menyertai program Visa Agentic Ready boleh menghubungi wakil akaun Visa untuk maklumat lanjut.
0 Comments
Post a Comment