Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (GTA), syarikat penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) enjin serta Pusat Penyelenggaraan Bertauliah (CMC) bagi Safran Helicopter Engines di Malaysia, mengorak langkah baharu dalam memperkukuh pembangunan modal insan industri aeroangkasa menerusi pemeteraian tiga kerjasama strategik bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), AMRACE Sdn. Bhd. (AMRACE) dan PT3 Consultant Sdn. Bhd. (PT3).
Kerjasama berkenaan bertujuan membentuk ekosistem pembangunan bakat yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan kepakaran institusi akademik, penyedia latihan dan pemain industri bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor aeroangkasa negara.
UTeM akan memainkan peranan dalam memperkukuh aspek pendidikan dan pembangunan akademik, manakala AMRACE serta PT3 akan memberi tumpuan kepada latihan berstruktur, program peningkatan kemahiran, latihan semula dan penyediaan tenaga kerja, khususnya bagi membantu veteran tentera beralih ke sektor aeroangkasa dan teknikal.
Melalui kerjasama ini, GTA berharap dapat mewujudkan laluan yang lebih jelas daripada pendidikan dan latihan kepada peluang pekerjaan sebenar, sekali gus menyokong usaha memperkukuh modal insan serta daya saing industri aeroangkasa Malaysia.
Inisiatif tersebut turut selari dengan aspirasi pertumbuhan GTA Holdings Berhad yang baru menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad bagi cadangan penyenaraian di Pasaran ACE, sekali gus mengukuhkan lagi hala tuju pembangunan syarikat.
Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) bersama AMRACE, kedua-dua pihak akan bekerjasama menyediakan program latihan selama 14 minggu yang merangkumi latihan teori dan praktikal bagi membantu veteran mendapatkan peluang pekerjaan dalam industri. GTA akan menyelaras pengambilan peserta, penempatan serta kerjasama dengan majikan, manakala AMRACE bertanggungjawab mengendalikan latihan, penilaian dan pensijilan.
Kerjasama bersama PT3 pula melengkapkan inisiatif tersebut menerusi penyediaan latihan teknikal, peningkatan kemahiran, pensijilan profesional, program perantisan serta pembelajaran berasaskan tempat kerja bagi melahirkan tenaga kerja yang memenuhi kehendak industri.
Sementara itu, menerusi Surat Niat bersama UTeM, GTA akan berkongsi pandangan serta input industri bagi pembangunan program Sarjana Muda Teknologi dalam Pemesinan Industri (Pembuatan Aeroangkasa) yang sedang dirancang universiti berkenaan. Kerjasama itu bertujuan memastikan kandungan kurikulum kekal relevan dengan keperluan semasa industri selain meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Pengerusi Eksekutif Global Turbine Asia Sdn. Bhd., Datuk Nonee Ashirin Datuk Mohd Radzi berkata, kejayaan industri aeroangkasa bergantung kepada tenaga kerja yang berkemahiran tinggi serta kerjasama erat antara industri, institusi pendidikan dan penyedia latihan.
Menurut beliau, setiap rakan strategik membawa kepakaran tersendiri dalam memperkukuh pembangunan bakat, sama ada melalui penyelarasan kurikulum akademik, penyediaan laluan kerjaya kepada veteran mahupun pembangunan keupayaan teknikal dan pensijilan profesional.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama tersebut bukan sekadar memenuhi keperluan semasa industri, malah menjadi asas kepada pembinaan ekosistem aeroangkasa yang lebih mampan bagi melahirkan tenaga kerja berdaya saing untuk masa hadapan.
Secara keseluruhannya, GTA optimis bahawa kerjasama strategik ini akan memperkukuh rantaian pembangunan bakat aeroangkasa negara melalui gabungan pendidikan, latihan, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan yang lebih tersusun.
0 Comments
Post a Comment