Heritage Fashion Week 2026 tampil dengan pendekatan berbeza apabila memperkenalkan Festival Showcase Kebaya Selangor dan Kelingkan sebagai platform mengangkat keindahan warisan tekstil Melayu kepada khalayak yang lebih luas.
Sejak diperkenalkan empat tahun lalu, Heritage Fashion Week sentiasa membawa misi memartabatkan seni fesyen tradisional melalui gabungan warisan, kreativiti dan inovasi. ASFARENA percaya setiap helaian busana tradisional menyimpan sejarah, identiti dan nilai budaya yang perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Dengan kerjasama Karyaneka, pelbagai koleksi berjaya dibangunkan melalui penyelidikan reka bentuk, pembangunan produk dan strategi pemasaran yang memberi nafas baharu kepada tekstil tradisional tempatan. Inisiatif ini turut membuka peluang kepada masyarakat untuk mengenali proses penghasilan seni kraftangan dengan lebih dekat.
Festival ini mengetengahkan Kebaya Selangor yang terkenal dengan potongan longgar, sulaman halus dan padanan kain tradisional sebagai simbol keanggunan wanita Melayu. Pada masa sama, seni Kelingkan yang menggunakan benang emas dan perak terus diraikan sebagai antara seni sulaman warisan yang mempunyai nilai estetika serta sejarah yang tinggi.
Penganjuran Heritage Fashion Week 2026 diharap menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memelihara serta memperkenalkan warisan tekstil Malaysia ke persada antarabangsa.



0 Comments
Post a Comment