Landskap automotif tempatan nyata menerima impak kejutan yang besar apabila Kia Sales Malaysia secara rasmi melepaskan strategi agresif mereka di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026. Tampil dengan konsep ‘Bold & Progressive’, jenama gergasi Korea Selatan ini memberikan tamparan hebat kepada para pesaing industri menerusi himpunan teknologi elektrik masa hadapan, reka bentuk sedan radikal, serta pengenalan pakej jaminan pemilikan paling ekstrem yang pernah disaksikan dalam pasaran domestik.

Berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 12 hingga 21 Jun 2026, Pavilion Kia tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi pusat tumpuan utama. Langkah berani ini ditegaskan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Sales Malaysia, Hyung Ho Kim, yang menyifatkan KLIMS 2026 sebagai pembuka tirai kepada komitmen total Kia dalam menyediakan solusi mobiliti inovatif bagi mencabar status quo pasaran yang kian sengit.

Tamparan pertama Kia dimulakan menerusi penampilan sulung sedan Kia K4 spesifikasi GT-Line. Membawa falsafah reka bentuk 'Opposites United', K4 hadir memecah tradisi sedan segmen-C hambar dengan rekaan garang ala fastback yang dipadankan dengan enjin 1.6L TGD i berkuasa 193 PS. Ruang kabinnya pula memaksa pesaing lain menilai semula standard mereka, hasil penawaran Integrated Panoramic Display yang menggabungkan tiga skrin digital canggih dalam satu paparan terapung bersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Bukan sekadar bersaing di segmen konvensional, Kia terus mengukuhkan dominasi di ruang pameran dengan mempamerkan tritunggal elektrifikasi global mereka yang terdiri daripada model EV4, EV5, dan PV5. Kia EV4 hadir sebagai sedan elektrik digital berasaskan platform E-GMP yang menawarkan jarak pemanduan luar biasa sehingga 612 km dengan keupayaan pengecasan pantas DC 10-80% dalam masa hanya 29 minit. Di samping itu, SUV keluarga lestari Kia EV5 turut membuat kemunculan, manakala model utiliti masa depan Kia PV5 Passenger mempamerkan fleksibiliti *Platform Beyond Vehicle* (PBV) yang baru-baru ini diiktiraf sebagai MPV of the Year di What Car? Awards 2026.

Bagi memastikan pengunjung MITEC merasai sendiri kehebatan jenama ini, Pavilion Kia turut disuntik dengan ekosistem gaya hidup imersif yang interaktif. Selain sesi pandu uji model ikonik sedia ada seperti Kia Carnival dan Kia Sportage varian jarak roda panjang, pengunjung disajikan dengan zon permainan interaktif bertemakan FIFA World Cup 2026, kolaborasi kebudayaan bersama Korea Tourism Organization (KTO), serta persembahan instalasi seni visual berasaskan kecerdasan buatan (AI) hasil karya artis digital terkenal tanah air, Max Jala.

Bagaimanapun, tamparan paling menggegar industri automotif tempatan hadir menerusi pengenalan Program Kia TotalCare yang berkuat kuasa bermula Jun ini. Pengarah Urusan Kia Sales Malaysia, Emily Lek, menegaskan bahawa program ini merupakan janji pemilikan paling berani yang pernah ditawarkan, sekali gus mencerminkan keyakinan mutlak syarikat terhadap kualiti produk mereka untuk memberikan ketenangan minda jangka panjang kepada pelanggan di Malaysia.

Menerusi Program Kia TotalCare, pelanggan yang membuat tempahan mana-mana varian Kia Sportage atau Kia Carnival (7 & 8 tempat duduk) dari 1 hingga 22 Jun 2026 bakal menikmati pakej perlindungan serampang '8-Tahun' yang tidak masuk akal. Pakej eksklusif ini menawarkan waranti selama 8 tahun atau 240,000 km, 8 tahun servis percuma, set 8 tayar percuma untuk tuntutan kerosakan, rebat tunai RM8,000, serta perlindungan insurans percuma untuk tahun pertama bernilai sehingga RM6,000.

Sebagai nilai tambah, sebarang tempahan model Kia dalam tempoh kempen ini turut melayakkan pembeli peluang memenangi cabutan bertuah berupa pakej percutian ke Seoul, Korea Selatan atau memenangi telefon pintar mercu Samsung Galaxy S26 Ultra 1TB. Kehadiran penuh impak oleh Kia Sales Malaysia di KLIMS 2026 ini dengan jelas membuktikan bahawa mereka tidak lagi sekadar mahu menjual kenderaan, tetapi sedia merombak dan menerajui evolusi mobiliti total di peringkat tertinggi.