Dalam usaha memacu agenda kebajikan warga kerjanya, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) merancang pelaksanaan projek pembangunan kediaman baharu menerusi kerjasama strategik bersama kumpulan pembangunan hartanah dan pembinaan, Encorp Berhad (ENCORP).
Langkah proaktif tersebut dizahirkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Menara FELDA, baru-baru ini. Majlis menandatangani komitmen tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Besar FELDA, Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati binti Osman, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ENCORP, Encik Ahmad Harzimi bin Mohd Taib. Sesi berkenaan turut disaksikan oleh Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, serta Pengerusi ENCORP, Encik Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff.
Menerusi rangka kerja kolaborasi ini, ENCORP bakal mandat sebagai kontraktor utama yang bertanggungjawab bagi fasa reka bentuk dan pembinaan projek tersebut, tertakluk kepada kelulusan serta perjanjian muktamad kedua-dua belah pihak. Langkah strategik ini membuktikan komitmen jitu FELDA dalam meletakkan kebajikan tenaga kerjanya sebagai keutamaan tertinggi. Penyediaan kediaman yang selesa, praktikal, dan kondusif ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti harian kakitangan, malah menjadi pemangkin kepada pengukuhan infrastruktur sosial agensi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ENCORP, Encik Ahmad Harzimi bin Mohd Taib menegaskan bahawa pihaknya amat komited untuk menyediakan ekosistem kediaman yang moden, terancang, dan berkualiti tinggi demi memenuhi aspirasi serta kemaslahatan warga kerja FELDA.
Projek ini juga merupakan kesinambungan kepada rekod prestasi cemerlang ENCORP dalam membangunkan portfolio hartanah berkualiti. Menerusi anak syarikatnya, Encorp Development Sdn Bhd, kumpulan itu sebelum ini telah berjaya menyiapkan Fasa 1 Lamanda Chuping pada tahun 2024, yang melibatkan penyerahan 224 unit kediaman kos rendah dan sederhana untuk warga peneroka serta generasi FELDA, di samping 17 unit komersial.
Berbekalkan portfolio kukuh sedia ada seperti pembangunan Tilia Shah Alam dan perancangan fasa seterusnya bagi Lamanda Chuping, ENCORP menyasarkan untuk membawa standard piawaian yang sama tinggi ke dalam inisiatif terbaharu ini demi menyediakan ruang kediaman yang holistik buat seluruh kakitangan FELDA.

0 Comments
Post a Comment