Selepas tiga dekad, sebuah bab penting dalam perjalanan muzik Wings bakal dihidupkan semula menerusi penganjuran konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary, yang menghimpunkan semula Mus, JoBranko, Black dan Eddie di satu pentas bersejarah.
Walaupun Wings dikenali sebagai antara kumpulan rock paling berpengaruh di Malaysia, perjalanan mereka tidak pernah terlepas daripada perubahan barisan anggota. Namun, setiap fasa yang dilalui telah membentuk identiti kumpulan itu sehingga terus kekal relevan dalam industri muzik tempatan.
Antara detik yang paling memberi impak ialah kemunculan Mus sebagai vokalis bersama JoBranko, Black dan Eddie menerusi album Biru Mata Hitamku yang diterbitkan pada tahun 1996. Album tersebut menjadi karya studio pertama Wings bersama barisan berkenaan dan memperlihatkan hala tuju baharu kumpulan itu dalam genre rock dan heavy metal.
Bersempena ulang tahun ke-30 album berkenaan pada tahun 2026, karya-karya yang pernah menjadi siulan peminat akan dipersembahkan semula secara langsung menerusi konsert berskala besar anjuran Icon Entertainment.
Konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary dijadual berlangsung pada 5 September 2026, jam 8.30 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, sekali gus merealisasikan penantian peminat untuk menyaksikan persembahan barisan tersebut selepas hampir tiga dekad.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, album Biru Mata Hitamku membuktikan kekuatan sesebuah kumpulan bukan hanya bergantung kepada pertukaran anggota, sebaliknya pada keupayaan menghasilkan karya berkualiti yang mampu bertahan merentasi zaman.
Menurut beliau, walaupun album itu sering dianggap kurang mendapat perhatian berbanding karya Wings yang lain, ia tetap menampilkan lagu-lagu berkualiti seperti Biru Mata Hitamku, Makam Kekasih, Jika Kau Tahu dan Enigma yang terus mendapat tempat di hati peminat. Malah, lagu Biru Mata Hitamku pernah mara sebagai finalis Anugerah Juara Lagu.
Sementara itu, JoBranko menyifatkan album tersebut sebagai antara karya paling penting dalam perjalanan Wings. Selain merangkul anugerah Kulit Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1996 (AIM 96), album itu turut melahirkan beberapa lagu ikonik yang masih diminati sehingga hari ini.
Beliau berharap sambutan ulang tahun ke-30 itu menjadi platform terbaik untuk meraikan perjalanan album tersebut bersama para peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepada Wings sejak dahulu lagi.
Bagi memeriahkan suasana, pihak penganjur turut mengajak penonton mengenakan pakaian serba hitam sebagai simbolik kepada tema konsert yang meraikan album Biru Mata Hitamku.
Tiket konsert ditawarkan pada harga IDAMAN (RM228), MR BARBARIK (RM338), JIKA KAU TAHU (RM368), ENIGMA (RM418) dan GRAND VIP (RM1,500). Pembelian boleh dibuat menerusi Ticket2U.
Konsert ini dijangka menjadi malam istimewa yang mengimbau nostalgia peminat menerusi rangkaian lagu malar segar daripada album Biru Mata Hitamku, sekali gus mengangkat semula antara era paling signifikan dalam sejarah Wings.
0 Comments
Post a Comment