MN Holdings Berhad terus memperkukuh prestasi kewangannya apabila mencatat peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 28% kepada RM21.33 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 (S3 TK2026), berbanding RM16.69 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Pada masa sama, hasil Kumpulan meningkat ketara sebanyak 57% tahun ke tahun kepada RM200.07 juta daripada RM127.42 juta, didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam segmen kejuruteraan pencawang. Segmen tersebut menjadi penyumbang utama kepada prestasi keseluruhan dengan sumbangan RM176.91 juta atau 88% daripada jumlah hasil suku berkenaan, meningkat 82% berbanding RM97.09 juta pada S3 TK2025. Segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah pula menyumbang RM23.17 juta.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 41% kepada RM31.94 juta daripada RM22.62 juta sebelumnya. Prestasi semasa bagaimanapun termasuk kerugian rosot nilai bersih ke atas aset kewangan dan aset kontrak sebanyak RM5.24 juta, berbanding pembalikan bersih kerugian rosot nilai RM1.20 juta yang dicatatkan pada S3 TK2025.
Selepas mengambil kira pelarasan tersebut, PBT dinormalisasikan Kumpulan meningkat 74% kepada RM37.18 juta, mencerminkan kecekapan operasi yang semakin baik serta pelaksanaan projek berskala besar yang lebih agresif. Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026 (9B TK2026), MN Holdings merekodkan hasil kumulatif sebanyak RM657.72 juta, meningkat 85% daripada RM356.01 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
PBT kumulatif meningkat 92% kepada RM95.52 juta berbanding RM49.83 juta, manakala PAT melonjak 87% kepada RM68.10 juta daripada RM36.42 juta. Segmen kejuruteraan pencawang terus menjadi pemacu utama pertumbuhan apabila menyumbang RM586.24 juta atau 89% daripada jumlah hasil sepanjang tempoh tersebut.
Dalam tempoh 9B TK2026 dan 9B TK2025, Kumpulan turut merekodkan perbelanjaan pampasan berasaskan saham masing-masing sebanyak RM1.37 juta dan RM1.22 juta, selain kerugian rosot nilai bersih aset kewangan dan aset kontrak masing-masing sebanyak RM11.51 juta dan RM2.12 juta. Selepas pelarasan dibuat, PBT dinormalisasikan melonjak 104% tahun ke tahun kepada RM108.40 juta daripada RM53.17 juta sebelumnya.
Pengarah Urusan MN Holdings, Dato’ Clement Toh berkata prestasi semasa membuktikan kekuatan operasi dan kemampuan syarikat dalam melaksanakan projek kejuruteraan pencawang utama secara konsisten. Beliau berkata prospek industri kekal positif dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur kuasa, khususnya didorong oleh pembangunan pusat data, pengembangan grid, elektrifikasi dan peralihan tenaga.
Dengan buku pesanan sekitar RM1.75 bilion, MN Holdings berada pada kedudukan baik untuk terus memanfaatkan peluang pertumbuhan masa hadapan sambil mengekalkan disiplin dalam pelaksanaan projek. Kumpulan juga mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan jumlah ekuiti RM357.85 juta serta tunai dan setara tunai sebanyak RM280.34 juta setakat 31 Mac 2026.

0 Comments
Post a Comment