Penyanyi Fajar Noor melakar satu lagi pencapaian dalam perjalanan seninya menerusi pelancaran album sulung berjudul Sementara, Selamanya, sebuah karya yang menampilkan sisi paling peribadi serta penuh emosi.

Album ini mengangkat tema kitaran cinta yang menggambarkan perjalanan sesebuah hubungan daripada permulaan yang indah, konflik, kehilangan, patah hati sehinggalah kepada rasa yang masih belum terlerai.

Lebih daripada sekadar album cinta, Sementara, Selamanya turut menyampaikan pelbagai emosi yang sering dialami selepas berakhirnya sesuatu hubungan, termasuk penyesalan, kerinduan dan kata-kata yang tidak sempat diluahkan.

Bersama penerbit Arsy Widianto dan Iqbal Siregar, Fajar menghasilkan himpunan lagu pop balada yang moden dengan susunan muzik yang kemas serta melodi yang mudah menyentuh hati.

Menurut Fajar, album ini merupakan karya yang paling mencabar untuk dihasilkan kerana beliau perlu menyampaikan pengalaman hidup sebenar secara jujur melalui muzik.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan bakal hadir ke Malaysia untuk mempromosikan album tersebut serta mengadakan persembahan khas buat peminat tempatan.

Segala maklumat berkaitan persembahan itu akan diumumkan menerusi saluran media sosial rasmi Fajar Noor dan Universal Music Malaysia. Album Sementara, Selamanya kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital.