Selepas kejayaan empat siri Showcase Amal Artis Legenda, penganjur kini tampil dengan Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan (5.0) yang membawa mesej kasih sayang dan keprihatinan kepada masyarakat.

Pengurus dan penerbitnya, Zulremy Daud berkata, nama baharu itu dipilih bagi menghargai usaha gigih Nizam Laksamana yang tidak pernah jemu membantu golongan memerlukan melalui platform hiburan. Keprihatinan terhadap rakan-rakan artis yang berdepan kesulitan hidup serta kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik, autisme dan OKU menjadi pemangkin utama kepada penganjuran showcase ini.

Selain menyajikan persembahan berkualiti, acara ini turut bertujuan mengumpul dana yang akan disalurkan kepada NGO dan pusat jagaan sebagai usaha membantu kebajikan golongan sasar. Penganjur juga berharap lebih banyak syarikat korporat tampil memberikan sokongan melalui penajaan atau pembelian pakej meja yang disediakan.

Antara artis yang bakal membuat persembahan ialah Tam Spider, Zamani Slam, Hazama, Haiza, Azmani dan UNIC. Showcase Jiwa Rasa Nizam Laksamana & Kawan-Kawan (5.0) akan berlangsung pada 3 Oktober 2026 di Noah Grand Ballroom, Melawati, Kuala Lumpur bermula jam 8 malam, manakala tiket telah mula dijual menerusi Ticket2U.