Kuala Lumpur, 26 Jun 2026 
— NOBO Soy tampil dengan pendekatan kreatif dalam memperkenalkan semula soya kepada generasi masa kini menerusi penganjuran The NOBO Table, sebuah pengalaman makan tengah hari yang menggabungkan elemen makanan, seni dan komuniti kreatif. Dianjurkan di Dona Bakehouse, acara ini menghimpunkan lebih 60 tetamu yang terdiri daripada wakil media, pencipta kandungan serta penggiat industri kreatif tempatan. Turut menjayakan kolaborasi ini ialah pencipta kandungan gaya hidup Azfar Heri dan Ain Ramli, yang bertindak sebagai hos bersama sepanjang acara.

Kolaborasi tersebut menyaksikan penghasilan menu edisi terhad hasil kerjasama antara NOBO Soy dan Dona Bakehouse, sekali gus memberi nafas baharu kepada hidangan klasik dengan sentuhan kreatif. Antara sajian yang diperkenalkan ialah Smoked Duck & Lychee Curry Danish, Pasta Alfredo bersama Cajun Chicken, Matcha Latte berasaskan NOBO Soy serta pencuci mulut NOBO Soy Panna Cotta, yang menampilkan kepelbagaian penggunaan susu soya dalam hidangan moden.


Menurut Azfar Heri dan Ain Ramli, The NOBO Table membuktikan bahawa sesuatu yang biasa boleh menjadi luar biasa apabila dilihat daripada perspektif yang berbeza. Mereka percaya makanan bukan sekadar hidangan, malah medium yang mampu menyatukan masyarakat, mencetuskan perbualan serta membina hubungan yang lebih bermakna. Melalui acara ini, mereka mengalu-alukan rakan-rakan dan komuniti kreatif untuk menikmati pengalaman santai yang menghubungkan makanan, seni dan budaya dalam suasana yang lebih mesra dan organik.


Bukan sekadar memperkenalkan menu baharu, ruang acara turut diubah menjadi pengalaman seni yang interaktif menerusi kolaborasi bersama artis multidisiplin Malaysia, Dhan Illiani. Instalasi bertajuk Aku Sebiji Kacang Soya diinspirasikan daripada format karangan sekolah yang membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak. Menggabungkan elemen tekstil, objek nostalgia dan ruang penyertaan kreatif, karya tersebut mengajak pengunjung melihat soya daripada perspektif yang lebih imaginatif dan kontemporari, sekali gus menjadikan Dona Bakehouse sebagai gabungan unik antara kafe dan galeri seni.

Pengarah Pemasaran NOBO Soy, Cindy Lin, berkata kolaborasi ini mencerminkan aspirasi jenama untuk mengangkat semula soya sebagai sebahagian daripada budaya makanan tempatan melalui pengalaman yang lebih kreatif dan dekat dengan generasi hari ini. Menurut beliau, soya bukan sahaja mempunyai nilai tradisi, malah berpotensi menjadi inspirasi kepada pelbagai idea baharu dalam dunia kulinari, seni dan gaya hidup apabila dipersembahkan dengan pendekatan yang segar.


Selepas acara pelancaran, menu kolaborasi NOBO Soy x Dona Bakehouse akan terus ditawarkan kepada orang ramai sehingga 24 Julai 2026. Pengunjung yang memesan mana-mana hidangan daripada menu khas tersebut turut akan menerima satu pek NOBO Soy atau NOBO Almond Soy bersama set pelekat edisi khas kolaborasi, selagi stok masih ada. Inisiatif ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai pengguna menikmati soya bukan sahaja sebagai minuman harian, tetapi sebagai bahan yang serba boleh dalam dunia makanan moden.

Menerusi gabungan makanan, seni dan komuniti kreatif, The NOBO Table membuktikan bahawa pengalaman menjamu selera mampu menjadi platform untuk mencetuskan inspirasi, menghubungkan masyarakat serta memperkenalkan semula bahan makanan tradisional dalam cara yang lebih relevan dan menarik untuk generasi masa kini.