IJM Land meneruskan pembangunan Seremban 2 sebagai sebuah perbandaran matang dan berdaya saing menerusi penyerahan milikan kosong (VP) Nexus Fasa 1, sebuah hab komersial yang direka bagi menyokong pertumbuhan perniagaan serta memenuhi keperluan komuniti yang semakin berkembang di S2 Heights dan S2 Heights Aman. Penyiapan projek ini turut memperkukuh ekosistem komersial Seremban 2 selepas kejayaan penyerahan IKON @ Centrio, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan IJM Land dalam membangunkan kemudahan komersial berkualiti di kawasan tersebut.
Nexus dibangunkan di atas kawasan seluas kira-kira 25 ekar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM385 juta dan merangkumi 207 unit keseluruhannya. Fasa 1 yang kini diserahkan melibatkan 166 unit kedai pejabat gaya hidup berstatus pegangan bebas dengan GDV sebanyak RM300 juta. Daripada jumlah itu, 147 unit merupakan kedai pejabat dua tingkat, manakala 19 unit lagi dilengkapi kemudahan parkir sub-besmen bagi meningkatkan keselesaan pemilik perniagaan dan pengunjung. Projek ini turut menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze sebagai pengiktirafan terhadap ciri pembangunan mampannya.
Sambutan terhadap Nexus juga amat memberangsangkan apabila pembangunan ini mencatat kadar pengambilan sebanyak 85 peratus. Prestasi tersebut mencerminkan keyakinan pembeli terhadap potensi aset komersial pegangan bebas yang disokong oleh kawasan kediaman yang terus berkembang, selain prospek perniagaan yang kukuh di Seremban 2. Kedudukan strategiknya membolehkan pelbagai jenis perniagaan seperti makanan dan minuman, peruncitan, kesihatan, pendidikan, perkhidmatan profesional dan gaya hidup berkembang dalam persekitaran yang semakin pesat.
Menurut Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon, kejayaan sesebuah pembangunan komersial bergantung kepada permintaan sebenar, pertumbuhan penduduk dan peranannya dalam kehidupan harian masyarakat. Beliau berkata, Nexus memenuhi ketiga-tiga aspek tersebut dengan menyediakan aset komersial yang mempunyai asas kawasan tadahan yang kukuh serta potensi pertumbuhan jangka panjang, sekali gus memberi manfaat kepada pemilik perniagaan dan pelabur.
Nexus direka dengan konsep yang mengutamakan keterlihatan, fleksibiliti dan kemudahan operasi perniagaan. Setiap unit menawarkan keluasan binaan antara 3,455 hingga 10,559 kaki persegi dengan susun atur modular, tingkap pameran yang luas, laluan pejalan kaki yang selesa serta jalan dalaman yang lebar. Rekaan ini membolehkan premis disesuaikan mengikut pelbagai keperluan perniagaan, di samping mewujudkan suasana komersial yang aktif dan mesra komuniti.
Sebagai hab komersial baharu, Nexus dijangka menjadi destinasi utama kepada penduduk S2 Heights, S2 Heights Aman dan kawasan sekitar Seremban 2. Kehadiran pelbagai kemudahan harian lebih dekat dengan kawasan kediaman bukan sahaja meningkatkan keselesaan komuniti, malah membantu merangsang aktiviti ekonomi tempatan. Dengan pertumbuhan berterusan kawasan kediaman dan peningkatan jumlah penduduk, Nexus berada pada kedudukan strategik untuk terus menjadi pemacu utama landskap komersial Seremban 2 pada masa hadapan.



0 Comments
Post a Comment