Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® (MSSCC) kembali untuk edisi ke-29 dengan satu perkembangan penting apabila MAGGI® menjalinkan kerjasama strategik buat pertama kalinya bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK). Kerjasama ini dijangka memperluaskan capaian MSSCC serta meningkatkan impaknya sebagai platform pembangunan generasi muda, dengan pertandingan tahun ini akan dilaksanakan di kesemua 16 negeri di seluruh negara.

Diperkenalkan sejak 1997, MSSCC telah melatih lebih 350,000 bakat muda Malaysia dan menyediakan ruang kepada murid untuk membangunkan pelbagai kemahiran praktikal melalui aktiviti memasak. Pada tahun 2026, program ini mencatat peningkatan penyertaan yang ketara apabila jumlah peserta meningkat daripada 2,088 murid pada tahun 2025 kepada 4,606 murid, iaitu pertumbuhan sebanyak 120 peratus. Perkembangan ini mencerminkan sambutan yang semakin menggalakkan terhadap program yang menggabungkan kemahiran memasak dengan pembelajaran praktikal.


MSSCC 2026 turut memperkenalkan literasi kewangan sebagai komponen pembelajaran baharu, di samping kemahiran memasak dan pemakanan seimbang. Elemen ini mengajar murid tentang kepentingan merancang lebih awal, membuat pilihan yang bijak serta mengurus bajet secara bertanggungjawab, termasuk ketika merancang dan membeli bahan masakan. Pengenalan elemen literasi kewangan ini selari dengan Strategi Kebangsaan Literasi Kewangan 2026–2030 (NS2.0), sekali gus membantu murid mengaplikasikan pengetahuan kewangan dalam situasi kehidupan seharian.

Bertemakan “Penerus Legasi Citarasa Moden”, MSSCC 2026 memberi tumpuan kepada generasi muda sebagai pelapis yang bakal meneruskan warisan kulinari Malaysia. Melalui pertandingan ini, murid digalakkan untuk menghargai kekayaan cita rasa dan budaya makanan tempatan sambil meneroka pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan gaya hidup moden.


Pertandingan tahun ini terbuka kepada semua murid sekolah menengah di Malaysia dan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Menengah Rendah dan Menengah Atas. Pertandingan peringkat negeri akan berlangsung di kesemua 16 negeri, termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, sebelum pasukan terbaik daripada setiap kategori mara ke peringkat akhir kebangsaan.

Aspek pemakanan seimbang turut kekal sebagai antara fokus utama MSSCC 2026. Berpandukan konsep Suku-Suku-Separuh yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi prinsip Pinggan Sihat Malaysia, para peserta didedahkan kepada cara menyediakan hidangan yang seimbang serta mengaplikasikan pengetahuan pemakanan melalui pengalaman memasak secara praktikal. Pendekatan ini diharap dapat membantu murid membawa pulang amalan pemakanan lebih sihat untuk diamalkan bersama keluarga.

Selain kemahiran kulinari, MSSCC turut menjadi platform untuk membentuk pelbagai kemahiran sepanjang hayat dalam kalangan murid. Aktiviti yang dijalankan membantu peserta menguasai teknik penyediaan makanan, keselamatan makanan dan pengetahuan mengenai bahan masakan, selain memupuk nilai kerja berpasukan, disiplin, daya tahan, kreativiti dan kebolehan menyelesaikan masalah.


Kerjasama antara MAGGI® dan KPM menerusi MSSCC 2026 menandakan satu perkembangan baharu dalam usaha memperkasakan generasi muda dengan kemahiran yang relevan untuk masa hadapan. Dengan menggabungkan pembelajaran kulinari, pemakanan seimbang dan literasi kewangan, program ini bukan sahaja memberi pengalaman pertandingan kepada murid, malah menyediakan asas kemahiran praktikal yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, alam persekolahan dan persediaan menuju alam pekerjaan.