Nama XPDC bukan sekadar sebuah kumpulan rock, tetapi sebuah legasi yang terus hidup dalam jiwa peminat muzik keras tanah air.

Walaupun sudah berdekad mewarnai industri muzik tempatan dan kehilangan figura ikonik mereka, Allahyarham Mael, semangat XPDC Kita Peng Yu masih kekal membara. Malah, jenama XPDC Kita Peng Yu terus menjadi antara nama paling dicari dalam festival dan acara rock di seluruh negara.

Kehebatan XPDC Kita Peng Yu bukan sekadar bersandarkan nostalgia. Kumpulan ini terus membuktikan populariti mereka apabila mencatat lebih 60 persembahan setiap tahun di pelbagai festival, konsert dan acara korporat di Malaysia, Sabah, Sarawak serta Brunei.

Meneruskan perjuangan tersebut, XPDC Kita Peng Yu yang dianggotai Arry (vokal), Jeff (gitar), Zuar (bass) dan Amy (dram) kini bersedia mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi konsert eksklusif bertajuk XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL yang bakal berlangsung pada 22 Ogos ini.

Dianjurkan oleh Rockstation & Event Entertainment, konsert yang berlangsung di Odeon Kuala Lumpur itu dijangka menjadi antara acara rock paling hangat tahun ini dengan persembahan lebih dua jam yang dipenuhi lagu-lagu malar segar XPDC serta kemunculan single terbaharu mereka, Satu Arah.

Menurut Pengarah Urusan Rockstation & Event Entertainment, Mozylir Moktaruddin, penganjuran konsert itu lahir daripada permintaan berterusan peminat yang mahu melihat XPDC Kita Peng Yu tampil dalam sebuah konsert berskala khas.

Beliau berkata, XPDC Kita Peng Yu mempunyai kelompok peminat yang sangat besar dan selepas melihat sambutan luar biasa yang diterima kumpulan itu di pelbagai lokasi, pihak penganjur yakin sudah tiba masanya merealisasikan sebuah konsert eksklusif khas buat peminat mereka.

Tambah beliau, pihaknya juga percaya peminat dari Sabah, Sarawak dan Brunei akan hadir memandangkan sokongan terhadap muzik rock di wilayah tersebut masih begitu kuat.

Lebih menarik, konsert ini bukan sekadar menampilkan XPDC Kita Peng Yu, malah turut membariskan tiga figura berpengaruh dalam dunia rock tanah air sebagai tetamu khas iaitu Yan Lefthanded, Jatt Ali dari Black Dog Bone dan Syed Ali, adik kepada Allahyarham Mael.

Kehadiran mereka bakal menghangatkan pentas menerusi tiga segmen eksklusif yang dinamakan Metal, Tribute dan Metal 60'an, sekali gus membawa penonton mengimbau pelbagai era kegemilangan muzik rock tempatan.

Mozylir turut memaklumkan pihak penganjur sedang merancang pengalaman audio dan visual yang lebih mantap bagi memastikan setiap peminat menikmati pengalaman konsert yang berbaloi dengan harga tiket yang dibayar.

Sementara itu, pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Zuar mengakui persembahan bertiket memerlukan komitmen serta persiapan yang jauh lebih rapi berbanding penampilan di festival terbuka.

Menurutnya, peminat yang membeli tiket hadir dengan harapan yang lebih tinggi. Oleh itu, setiap aspek termasuk susunan lagu, sistem bunyi, pencahayaan serta keseluruhan produksi diberi perhatian bagi memastikan penonton pulang dengan pengalaman yang benar-benar memuaskan.

Dalam pada itu, Pengurus XPDC Kita Peng Yu, Mohd. Yazid Selamat optimis konsert tersebut mampu menarik kehadiran ramai peminat berdasarkan rekod cemerlang kumpulan itu setiap kali beraksi di pentas.

Beliau berkata, peminat bakal disajikan dengan sebuah malam yang penuh tenaga menerusi deretan lagu hit yang sentiasa menjadi kegemaran ramai. Selain itu, peminat turut berpeluang menyaksikan sesi uji bunyi dan latihan serta bertemu semua ahli XPDC Kita Peng Yu pada petang hari konsert di Odeon KL.

Dengan gabungan lagu-lagu legenda, kemunculan tetamu istimewa, tiga segmen eksklusif serta produksi yang dipertingkatkan, XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL dijangka menjadi sebuah malam penuh nostalgia dan adrenalin buat peminat setia muzik rock tanah air.

Bagi penggemar muzik keras, 22 Ogos ini pastinya menjadi malam terbaik untuk kembali mengangkat tangan ke udara, menyanyi sekuat hati dan melakukan headbang bersama legenda yang terus hidup dalam sejarah rock Malaysia.