Astro kembali menghidupkan pentas nostalgia menerusi Kilauan Emas Selebriti 2026, sebuah edisi istimewa yang tampil dengan format lebih segar. Program ini bakal bersiaran mulai 22 Ogos 2026, setiap hari Sabtu jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105), dan turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO serta Sooka.
Berbeza daripada musim-musim terdahulu, Kilauan Emas Selebriti 2026 menampilkan barisan selebriti veteran terkenal Malaysia sebagai peserta, berbanding peserta daripada kalangan orang awam. Menariknya, mereka bukan terdiri daripada penyanyi profesional, sekali gus mengekalkan keaslian konsep pertandingan.
Bagi melayakkan diri menyertai pertandingan ini, peserta perlu memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan. Antaranya ialah merupakan warganegara Malaysia berusia 50 tahun ke atas, bukan penyanyi profesional atau individu yang pernah menerima latihan nyanyian secara profesional, serta tidak pernah menghasilkan atau menerbitkan album muzik.
Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh, Kilauan Emas Selebriti bukan sekadar sebuah pertandingan nyanyian, malah membawa misi kemasyarakatan menerusi konsep "Talent That Gives Back".
Melalui inisiatif tersebut, setiap kemenangan mingguan akan disertakan dengan sumbangan amal kepada rakan-rakan artis veteran yang memerlukan. Usaha ini menjadikan program berkenaan sebagai platform yang bukan sahaja meraikan bakat, malah memberi impak positif kepada masyarakat.
Selain itu, musim terbaharu ini turut memperkenalkan segmen khas "Telan Kaset", yang bakal menampilkan kemunculan artis-artis legenda tanah air pada setiap minggu. Segmen tersebut diwujudkan bagi menghidupkan kembali nostalgia dalam kalangan penonton serta menyuntik nilai sentimental yang sinonim dengan jenama Kilauan Emas sejak diperkenalkan.
Seramai 10 selebriti veteran bakal berentap di pentas Kilauan Emas Selebriti 2026. Mereka bukan sahaja bersaing untuk meraih kemenangan mingguan, malah berusaha mengumpul dana yang akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan menerusi misi kebajikan program ini.
Musim kali ini turut menyaksikan kemunculan semula Raja Azura sebagai pengacara utama. Beliau sebelum ini merupakan hos Kilauan Emas dari musim pertama hingga musim kelima dan kini kembali menghangatkan pentas pertandingan.
Raja Azura akan digandingkan bersama Keanu Azman sebagai rakan pengacara, manakala barisan juri pula dibarisi Jihan Muse sebagai juri tetap bersama Datuk Yusry KRU. Setiap minggu, seorang juri jemputan khas turut akan menyertai barisan pengadilan.
Penerbitan Kilauan Emas Selebriti 2026 turut disokong oleh Astro Gempak sebagai rakan digital serta SINAR sebagai rakan radio rasmi. Program ini juga boleh distrim menerusi Astro GO, On Demand dan Sooka bagi memudahkan penonton mengikuti setiap episod pada bila-bila masa.
Kilauan Emas Selebriti 2026 dibawakan khas oleh Arabic Gold dengan semangat "Emas Tetap Emas", yang meraikan pengalaman, nilai dan sumbangan insan yang terus bersinar seiring peningkatan usia.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Kilauan Emas Selebriti 2026 bermula 22 Ogos, setiap Sabtu jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105), atau strim secara dalam talian melalui Astro GO, On Demand dan Sooka.

0 Comments
Post a Comment