Nama XPDC bukan sekadar sebuah kumpulan rock, tetapi sebuah legasi yang terus hidup dalam jiwa peminat muzik keras tanah air.
Walaupun sudah berdekad mewarnai industri muzik tempatan dan kehilangan figura ikonik mereka, Allahyarham Mael, semangat XPDC Kita Peng Yu masih terus membara. Malah, jenama XPDC Kita Peng Yu kekal menjadi antara nama yang paling dicari dalam festival dan acara rock di seluruh negara.
Kehebatan XPDC Kita Peng Yu bukan sekadar bersandarkan nostalgia. Kumpulan ini membuktikan mereka masih menjadi pilihan penganjur dan peminat apabila mencatat lebih 60 persembahan setiap tahun di pelbagai festival, konsert dan acara korporat di Malaysia, Sabah, Sarawak serta Brunei.
Meneruskan perjuangan tersebut, XPDC Kita Peng Yu yang dianggotai Arry selaku vokal, Jeff di gitar, Zuar di bass dan Amy di dram kini bersedia mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi konsert eksklusif XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL pada 22 Ogos ini.
Dianjurkan Rockstation & Event Entertainment, konsert yang berlangsung di Odeon Kuala Lumpur itu dijangka menjadi antara acara rock paling hangat tahun ini dengan persembahan lebih dua jam yang sarat dengan lagu-lagu malar segar XPDC serta kemunculan single terbaharu mereka, Satu Arah.
Menurut Pengarah Urusan Rockstation & Event Entertainment, Mozylir Moktaruddin, penganjuran konsert tersebut lahir daripada permintaan berterusan peminat yang mahu melihat XPDC Kita Peng Yu tampil dalam sebuah konsert berskala khas.
“XPDC Kita Peng Yu sememangnya mempunyai kelompok peminat yang sangat besar. Selepas melakukan tinjauan dan melihat sambutan yang diterima kumpulan ini di pelbagai lokasi, kami yakin sudah tiba masanya untuk merealisasikan sebuah konsert eksklusif buat mereka.
“Malah kami percaya peminat dari Sabah, Sarawak dan Brunei juga akan hadir kerana sokongan terhadap muzik rock di sana masih sangat kuat,” katanya.
Lebih menarik, konsert berkenaan bukan sekadar menampilkan XPDC Kita Peng Yu apabila tiga figura berpengaruh dalam dunia rock tanah air turut diumumkan sebagai tetamu khas iaitu Yan Lefthanded, Jatt Ali dari Black Dog Bone dan Syed Ali, adik kepada Allahyarham Mael.
Kehadiran mereka bakal memperkuatkan lagi aura konsert menerusi tiga segmen berbeza yang diberi nama Metal, Tribute dan Metal 60-an. Segmen tersebut dijangka membawa penonton mengembara merentas pelbagai era kegemilangan muzik rock tempatan.
Mozylir turut mendedahkan pihak penganjur sedang merancang pengalaman audio dan visual yang lebih mantap bagi memastikan peminat memperoleh pengalaman konsert yang berbaloi dengan harga tiket yang dibayar.
Sementara itu, pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Zuar mengakui persembahan bertiket memerlukan komitmen dan persiapan yang jauh berbeza berbanding penampilan mereka di festival terbuka.
“Bila kita buat konsert berbayar, peminat datang dengan harapan yang lebih tinggi. Sebab itu kami beri perhatian kepada setiap aspek termasuk susunan lagu, sistem bunyi, pencahayaan dan keseluruhan produksi.
“Kami mahu setiap peminat yang hadir pulang dengan rasa puas dan merasakan mereka benar-benar mendapat pengalaman yang istimewa,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus XPDC Kita Peng Yu, Mohd. Yazid Selamat optimis konsert berkenaan mampu menarik kehadiran ramai peminat berdasarkan rekod cemerlang kumpulan tersebut setiap kali beraksi di pentas.
“Kami akan sajikan sebuah malam yang penuh tenaga dengan deretan lagu hit yang sentiasa menjadi kegemaran peminat. XPDC Kita Peng Yu mempunyai kredibiliti untuk memberikan persembahan yang mantap dan menghiburkan.
“Peminat juga berpeluang menyaksikan sesi uji bunyi dan latihan, serta dapat berjumpa dengan semua ahli XPDC Kita Peng Yu pada petang hari konsert berkenaan di ODEON KL,” katanya.
Dengan gabungan lagu-lagu legenda, kemunculan tetamu istimewa, tiga segmen eksklusif serta produksi yang dipertingkatkan, XPDC Kita Peng Yu – Headbang Live & Loud At Odeon KL dijangka menjadi sebuah malam penuh nostalgia dan adrenalin yang bakal mengubat rindu peminat setia rock tanah air.
Bagi penggemar muzik keras, 22 Ogos ini mungkin menjadi malam untuk kembali mengangkat tangan ke udara, menyanyi sekuat hati dan melakukan headbang bersama nama-nama yang terus hidup dalam sejarah rock Malaysia.
Tiket fizikal dan dalam talian ditawarkan bagi kategori berdiri Normal pada harga RM98 dan Rockzone RM138. Bagi kategori duduk pula, tiket Normal berharga RM258 manakala V.I.P RM298.
Tiket boleh dibeli secara fizikal dengan menghubungi 012-331 8431 (Odeon KL), 013-689 7380 (Che Mad) untuk XPDC Kita Peng Yu Official Merchandise atau 013-203 8870 (Faizal) bagi Pasukan Kita Peng Yu.
Tiket secara dalam talian juga boleh didapati melalui laman rasmi XPDC Kita Peng Yu: officialxpdckitapengyu.com
Bagi peminat rock tanah air, 22 Ogos ini bakal menjadi malam yang penuh tenaga, nostalgia dan muzik keras. Odeon KL dijangka bergema dengan sorakan peminat yang sudah lama menantikan sebuah malam headbang bersama XPDC Kita Peng Yu dan tetamu istimewa mereka.

.jpeg)
.png)
0 Comments
Post a Comment