Tune Talk memperkenalkan kemudahan E-Roaming percuma di Arab Saudi bagi membantu rakyat Malaysia yang menunaikan ibadah Haji dan Umrah kekal berhubung dengan keluarga serta rakan-rakan di tanah air tanpa perlu risau tentang caj perayauan tambahan. Berkuat kuasa mulai 1 Ogos, pelanggan yang layak boleh menggunakan kuota data sedia ada mereka secara automatik sebaik sahaja tiba di Arab Saudi, tanpa perlu membeli pas perayauan, memasukkan kod pengaktifan atau melakukan sebarang tetapan tambahan.

Kemudahan ini direka untuk memberikan pengalaman komunikasi yang lebih lancar sepanjang berada di Tanah Suci. Selain membolehkan jemaah berkongsi detik bermakna bersama insan tersayang, sambungan internet yang tersedia sebaik mendarat turut memudahkan mereka mengakses aplikasi navigasi, mendapatkan pengangkutan, berhubung dengan mutawif serta menyelaras pergerakan bersama kumpulan perjalanan. Dengan anggaran kos perayauan yang lazimnya mencecah antara RM89 hingga RM180 sebulan, inisiatif ini turut membantu mengurangkan beban perbelanjaan sepanjang tempoh ibadah.

Menurut Tune Talk, inisiatif ini mencerminkan komitmen syarikat sebagai pengendali mudah alih digital yang sentiasa berusaha memudahkan pengalaman pelanggan. Daripada pengurusan akaun melalui aplikasi Tune Talk sehinggalah kepada perkhidmatan E-Roaming yang diaktifkan secara automatik, syarikat terus membangunkan penyelesaian yang memenuhi keperluan gaya hidup moden, termasuk ketika pelanggan berada di luar negara.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda berkata, sebagai jenama tempatan, syarikat memahami kepentingan ibadah Haji dan Umrah kepada rakyat Malaysia. Beliau menjelaskan bahawa sambungan komunikasi yang lancar seharusnya menjadi satu kemudahan, bukannya satu beban tambahan, sekali gus membolehkan para jemaah memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah tanpa kebimbangan mengenai kos perayauan mudah alih.

Malaysia menghantar kira-kira 300,000 jemaah Umrah dan 31,600 jemaah Haji setiap tahun. Seiring dengan jumlah tersebut, Tune Talk berharap kemudahan E-Roaming percuma ini dapat memberikan nilai tambah kepada pelanggan serta menyokong komuniti Muslim Malaysia yang menunaikan ibadah di Tanah Suci dengan pengalaman komunikasi yang lebih mudah, selamat dan menjimatkan.

Kelayakan E-Roaming Percuma Arab Saudi

  • Epik+ 50
  • Epik+ Family
  • Epik+ Family Safe
  • Epik+ 35 (langganan melebihi 6 bulan)
  • Epik+ 28 (langganan melebihi 6 bulan)
  • Setiap pelanggan yang layak dengan MYKAD menerima 1 bulan E-Roaming percuma di Arab Saudi.
  • Pelanggan yang belum memenuhi syarat tempoh langganan masih boleh membeli E-Roaming sebagai tambahan.