MotorManiac Festival 2026 kembali untuk edisi kelima dengan janji untuk menjadi antara penganjuran paling meriah dalam sejarah festival automotif tersebut.

Berlangsung pada 5 dan 6 September 2026 di Rooftop, Aras 7, MyTOWN Kuala Lumpur, festival selama dua hari ini dijangka menarik lebih 40,000 peminat automotif dari seluruh negara. Acara ini bakal menghimpunkan pameran kereta berprestasi tinggi, aksi drift, muzik secara langsung, koleksi barangan eksklusif, pelancaran produk baharu, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti berasaskan budaya automotif dan gaya hidup urban.

Menjelang pembukaan rasmi festival, MotorManiac mengadakan Sidang Media MotorManiac 2026 pada 30 Ogos di ibu pejabatnya di Shah Alam bagi memperkenalkan beberapa inisiatif utama yang mengukuhkan aspirasi jenama tersebut sebagai sebuah ekosistem gaya hidup automotif terkemuka di Malaysia.

Dianjurkan oleh Bateriku, penyedia bantuan tepi jalan di Malaysia, MotorManiac Festival terus mengembangkan skopnya menerusi kerjasama strategik bersama Astra selaku Penaja Utama. Petronas Syntium pula tampil sebagai Penaja Bersama, manakala Lazada menjadi Rakan Tiket Rasmi dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Festival ini turut mendapat sokongan daripada Red Bull, MyTOWN Shopping Centre, Retrohavoc dan GGR sebagai rakan penaja serta penyokong. F&N pula menyertai acara ini sebagai Rakan Minuman Rasmi bagi memastikan pengunjung kekal terhidrat sepanjang festival.


Antara tarikan utama tahun ini ialah kerjasama dengan DEF JAM Southeast Asia sebagai Rakan Pentas Rasmi. Kerjasama tersebut bakal membawa festival muzik open-air ke rooftop MyTOWN dengan persembahan daripada Joe Flizzow, SonaOne, ALYPH, Ismail Izzani, Killa Driz, Lil J, Yonnyboii, AbangSapau dan DJ CZA.

Bagi mengabadikan edisi 2026, MotorManiac turut memperkenalkan koleksi barangan rasmi hasil kerjasama eksklusif bersama DEF JAM Southeast Asia yang merangkumi 12 SKU.

Jom Battle pula kembali sebagai Rakan Rasmi B-Boy dengan barisan yang diketuai oleh Sora. Pada masa sama, Keep It Street by Zeem Ahmad bakal mengetengahkan budaya jalanan yang dinamik. Zeem Ahmad, atlet Red Bull Malaysia dalam bidang bola sepak gaya bebas, akan membawa elemen street culture yang melengkapkan gabungan unik antara dunia automotif, muzik dan gaya hidup urban.

Festival MotorManiac 2026 turut menjadi pentas pengumuman MotorManiac Drift Academy dan pasukan drift ASTRA yang menghimpunkan beberapa nama besar dalam dunia drift antarabangsa. Antara yang terlibat ialah Rome Charpentier, pelumba Formula Drift PRO1 dari Amerika Syarikat; Vernon Zwaneveld, hakim drift antarabangsa bertauliah FIA dan jurulatih drift; Dika Champion, pelumba drift kebangsaan Indonesia serta Pengurus Operasi Sentul International Circuit; dan Alvito Hardianto, antara pelumba drift terkemuka Indonesia.

MotorManiac Drift Academy merupakan salah satu ahli pengasas World Drift School Alliance (WDSA). Kerjasama ini dirangka bagi melahirkan generasi baharu pelumba drift Malaysia menerusi latihan berstruktur, kerjasama antarabangsa, program pertukaran pelajar serta laluan pembangunan profesional dalam arena drift.

WDSA menggabungkan kerjasama dari Malaysia, Indonesia, Amerika Syarikat dan Belanda serta mendapat sokongan tokoh-tokoh drift antarabangsa dan hakim bertauliah FIA. Akademi ini menyediakan laluan pembangunan profesional kepada pelajar untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk peluang ke negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat.

Usaha MotorManiac untuk menembusi pasaran antarabangsa turut diteruskan menerusi kerjasama dengan media automotif dan barisan pempengaruh dari rantau ini. Antara nama yang terlibat ialah CarCulth, Smokey Nicole, Tatsu Miyagawa, Clay Wong dan Final Drive.

Kehadiran mereka mencerminkan perkembangan MotorManiac sebagai sebuah platform automotif yang semakin mendapat perhatian di peringkat serantau dan antarabangsa. Pengumpul model kereta mini pula boleh mengunjungi Mini Diecast Expo, manakala AZJ Printing dan Sarman Printing tampil sebagai Rakan Percetakan Rasmi.

Selepas lima edisi, MotorManiac kini bergerak melangkaui penganjuran festival fizikal. Selari dengan perkembangan gaya hidup digital, aplikasi MotorManiac turut diumumkan sebagai sebuah platform automotif digital sehenti yang menghubungkan peminat kereta, jenama dan rakan antarabangsa.


Aplikasi tersebut menawarkan pelbagai fungsi termasuk penjualan tiket, barangan rasmi, komponen prestasi, jentera serta forum komuniti. Ia turut direka sebagai platform untuk pemain industri automotif berinteraksi dengan komuniti, dengan beberapa jenama seperti DeWalt dan Works Engineering antara yang telah menyertainya.

Satu lagi produk baharu yang diperkenalkan ialah ASTRA-X, iaitu bateri lithium iron phosphate (LFP) berprestasi tinggi yang direka khusus untuk memenuhi keperluan dunia perlumbaan dan drift.

ASTRA-X dibangunkan dengan fokus kepada berat yang ringan, ketahanan serta keupayaan mengekalkan bekalan tenaga kepada jentera walaupun berlaku kegagalan alternator. Bateri tersebut juga direka supaya boleh dipulihkan selepas mengalami deep discharge, menjadikannya sesuai untuk kegunaan dalam sukan bermotor yang memerlukan prestasi konsisten dalam setiap saat.

Pengunjung MotorManiac Festival 2026 juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah. Setiap pembelian barangan rasmi MotorManiac bernilai RM50 melayakkan pembeli mendapat satu peluang cabutan.

Hadiah utama ialah sebuah Nissan Cefiro A31 ikonik yang telah dibangunkan khas oleh pasukan MotorManiac sebagai jentera yang sedia dipandu dan sedia untuk drift. Selain itu, pelbagai hadiah lain turut menanti termasuk GGR Electric Bike, Teg Suspension Kit, Young Wrap Car Wrap, OMP Racing Helmet, Defi Meter Set dan Teg Tools daripada DeWALT.

Tiket MotorManiac Festival 2026 ditawarkan pada harga RM30 untuk kemasukan sehari dan RM50 untuk kemasukan dua hari. Barangan rasmi MotorManiac pula boleh didapati melalui rakanbateriku.com, aplikasi Lazada atau secara walk-in sepanjang festival.

Dengan gabungan automotif, drift, muzik, budaya jalanan, teknologi dan komuniti, MotorManiac Festival 2026 dilihat sebagai manifestasi kepada aspirasi Bateriku yang membawa konsep “Bukan Sekadar Bateri” ke tahap lebih luas.

MotorManiac bukan sekadar membangunkan sebuah festival, tetapi berusaha membina ekosistem, menyuburkan komuniti serta mencipta trend baharu dalam dunia automotif dan gaya hidup di Malaysia.

MotorManiac Festival 2026 bakal berlangsung pada 5 dan 6 September 2026 di Rooftop, Aras 7, MyTOWN Kuala Lumpur. Bagi peminat automotif, muzik dan budaya urban, acara ini pastinya antara acara yang tidak wajar dilepaskan.