Ernie Zakri, bakat muda dalam industri muzik Malaysia, telah
membuat gebrakan besar dengan pelancaran album solo pertamanya yang dinamakan
"AURA". Dalam kerjasama dengan Universal Music Malaysia, Ernie
membawa satu hembusan segar ke dalam seni muzik tempatan. Para peminatnya
sekarang boleh menikmati pengalaman muzik yang mendalam melalui album ini.
AURA merupakan sebuah album yang membawa pesan
tentang peneguhan diri dan sikap positif. Ia diolah khas oleh Ernie sendiri
untuk memberi keyakinan kepada mereka yang rasa terluka dalam menghadapi
kehidupan harian. Album ini mengajak pendengar untuk menghayati aura yang ada
pada diri sendiri, sambil mengingatkan bahawa setiap yang berlaku dalam hidup
ini adalah takdir yang sudah tersusun, dan bertujuan memberikan kesedaran untuk
menerima segala kekurangan tanpa rasa takut.
Ernie menjelaskan mukadimah tentang mahakarya
terbaharunya ini, album AURA ini sangat istimewa kerana ia menceritakan tentang
sumber kekuatan seseorang. Semua lagu dalam album ini berkisahkan nasihat,
motivasi dan sumber kekuatan untuk insan yang memerlukan semangat. Sebagai
pembuka cerita kepada album ini, lagu berjudul Masing-Masing diberi
penghormatan menjadi single pertama
untuk memperkenalkan AURA.
Masing-Masing adalah sebuah lagu galau yang
bertemakan putus cinta. Digubah dan ditulis oleh Ade dari kumpulan Govinda
bersama Nabila V, ia mempunyai jalan cerita tersendiri.
“Saya dan Mas Ade bersependapat untuk menghasilkan
lagu galau dengan kisah putus cinta yang sedikit berbeza. Masing-Masing
mengisahkan pasangan yang terpaksa teruskan kehidupan mereka dengan cara
berpisah demi mencari kebahagiaan diri sendiri. Tidak semua perpisahan tentang
pertengkaran atau pergaduhan. Ada perpisahan yang berlaku atas persetujuan
kedua-dua pihak demi mencapai kebahagiaan sendiri. Saya tahu ramai rakyat
Malaysia yang suka lagu galau sebegini,” tambah Ernie lagi.
Lagu tersebut menjalani proses rakaman di Yogyakarta,
Indonesia dengan begitu mudah.
Ernie Zakri menceritakan bahawa, ia tidak terasa
seperti bekerja malah seolah-olah sedang bercuti kerana semuanya lancar dan
senang. Kami hanya mengambil masa sehari untuk rakaman. Buat video muzik pula
kami hanya perlukan setengah hari sahaja untuk penggambaran.
Video muzik yang berkonsep penuh kesenian itu
menampilkan dua orang penari yang menyampaikan jalan cerita secara simbolik
lewat setiap pergerakan yang ditampilkan dalam bentuk seni tari.
Ernie menceritakan tentang video muzik Masing Masing,
terdapat dua orang penari yang bercerita dengan pergerakan. Setiap gerak tari
ada maknanya. Sebagai contoh, ada babak mereka jatuh, itu ada maksud simbolik
yang tersirat tentang mesej yang disampaikan dalam lagu itu.
Album AURA yang membabitkan ramai komposer dan
penerbit mengambil masa perancangan sekitar setahun kerana Ernie mempunyai
beberapa permintaan khas.
“Saya yang meminta sendiri lagu daripada penulis
serta pencipta yang terbabit dalam album ini. Proses rakaman kesemua lagu juga
memakan waktu sekitar tiga hingga empat bulan untuk disiapkan. Jadi saya harap
para pendengar akan dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan di dalam album
ini. Semoga ia menjadi teman buat mereka yang memerlukan semangat serta
kekuatan itu,” bingkas Ernie menutup bicara.
Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia,
turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan dan potensi Ernie Zakri untuk
meluncur lebih jauh dalam kareer muziknya di bawah label ini. “Kami mempunyai perancangan yang rapi untuk
memastikan nama Ernie Zakri bukan sahaja terpahat di hati peminat Malaysia,
malah di rantau ini terutamanya Indonesia. Selain menghasilkan karya muzik yang
berkualiti untuk para peminat, Ernie juga akan berkolaborasi bersama beberapa
jenama tempatan sebagai salah satu strategi mengembangkan kareer beliau.
Sebagai contoh, hari ini kami melancarkan album AURA Ernie Zakri bersama dengan
koleksi tudung jenama tempatan Ayuwan.”
Album ini menampilkan 10 buah lagu dengan pembabitan
nama-nama besar industri muzik serantau seperti Aubrey Suwito, Ezra Kong,
Faizal Tahir, Amylea Azizan, Rozi Sangdewi, Helen Yap, Firdaus Rahmat, John
Jeeves, Ade Govinda dan beberapa orang lagi. Ia turut menampilkan suami Ernie
sendiri, Syamel yang menyumbangkan lagu ‘Jangan Hilang Percaya’.
AURA bakal berada di semua platform digital bermula
Jumaat 3 November 2023, dan video muzik lagu Masing-Masing pula akan berada di
laman YouTube pada hari yang sama.
SENARAI LAGU DALAM ALBUM AURA:
Judul: Intro
Buat Kamu
Lirik: Ernie Zakri, John
Jeeves
Komposer: Ernie Zakri, John
Jeeves
Susunan: John Jeeves
Penerbit: John Jeeves
Judul: Aura
Lirik: Ernie Zakri, John Jeeves,
Firdaus Rahmat
Komposer: Ernie Zakri, John
Jeeves, Firdaus Rahmat
Susunan: John Jeeves
Penerbit: John Jeeves
Judul:
Masing-Masing
Lirik: Ade Govinda &
Nabila V
Komposer: Ade Govinda
Penerbit: William Chow
Judul:
Terima Seadanya
Lirik: Mage, Faizal Tahir
Komposer: Mage, Faizal
Tahir
Penerbit: Adib Hussain
Judul: The
Best
Lirik: Firdaus Rahmat, John
Jeeves, Shazriq Azeman
Komposer: Firdaus Rahmat,
John Jeeves, Shazriq Azeman
Penerbit: Firdaus Rahmat,
John Jeeves
Judul:
Gelita
Lirik: Slen Fadzil
Komposer: Slen Fadzil,
Helen Yap
Penerbit: Helen Yap
Judul:
Tercipta Sempurna
Lirik: Ezra Kong
Komposer: Ezra Kong
Penerbit: Ezra Kong
Judul:
Jangan Hilang Percaya
Lirik: Syamel
Komposer: Syamel, Jiwa
Penerbit: Aubrey Suwito
Judul: Satu
Cinta
Lirik: Amylea Azizan
Komposer: Amylea Azizan
Penerbit: Amylea Azizan
Judul:
Persis Katarsis
Lirik: Rozi Sangdewi
Komposer: Aubrey Suwito
Penerbit: Aubrey Suwito


0 Comments
Post a Comment