Lebih 300 usahawan tempatan berpeluang mendalami ilmu pemasaran dan penjenamaan menerusi Astro Open Day, sebuah inisiatif yang dijalankan hasil kerjasama strategik antara Astro dan RichWorks Academy Sdn Bhd. Program yang berlangsung di Studio 1, Astro Bukit Jalil ini menampilkan pelbagai sesi interaktif dan perkongsian eksklusif daripada barisan pakar industri.
Sebagai peneraju dalam dunia kandungan dan hiburan, Astro melihat kepentingan untuk memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan memberikan mereka akses kepada ekosistem menyeluruh yang dimiliki — merangkumi platform TV, radio, digital serta aktiviti lapangan. Usaha ini adalah sebahagian daripada program Ai Branding Marketing Growth (AiBMG), yang direka khas untuk mendedahkan usahawan kepada potensi sebenar pemasaran berimpak tinggi.
Program sehari itu dimulakan dengan ucapan oleh Dr. Grace Lee, Ketua Pegawai Kewangan dan Operasi Kumpulan Astro. Turut memeriahkan acara ialah sesi ramah mesra bersama penyampai radio popular seperti Nabil Ahmad, Rahim, Anas Tahir, Prem, Aishah Sinclair dan Terry, yang berkongsi pengalaman mereka dalam dunia penyiaran dan penjenamaan.
Satu lagi segmen penting dalam acara ini ialah pembentangan oleh Marlina Mansor, Ketua Perkhidmatan Kreatif Astro, yang menjelaskan strategi pengiklanan efektif menggunakan rangkaian platform Astro. Para peserta kemudiannya dibawa meninjau studio utama seperti studio berita Awani, Studio 3 Borak SeeNi serta beberapa konti radio — memberi mereka gambaran langsung tentang bagaimana kandungan media dihasilkan dan dimanfaatkan secara komersial.
Pengasas dan Presiden RichWorks Academy, Prof. Datuk Wira Dr Azizan Osman, turut memberikan amanat kepada para peserta agar terus merebut peluang untuk mengembangkan perniagaan melalui strategi penjenamaan dan kerjasama pintar bersama entiti media seperti Astro. Turut hadir dalam acara ini ialah Cynthia Seow, Pengarah Digital & Pengalaman Pelanggan Astro; Datin Norashikin Habibur Rahman, Naib Presiden Pembangunan Komersial, Perniagaan Digital Astro; serta Dr. Radz Mohd, Ketua Pegawai Operasi RichWorks Academy.
Astro Open Day bukan sekadar platform perkongsian ilmu, tetapi turut menjadi titik mula kepada kerjasama jangka panjang antara pemain industri media dan usahawan tempatan. Astro optimis bahawa pendedahan secara langsung kepada kekuatan platform mereka akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan yang lebih berdaya saing dalam era digital hari ini.

0 Comments
Post a Comment