Pelancaran model baharu ini melengkapkan barisan BYD ATTO 3 2026 di Malaysia selepas pengenalan varian Ultra dan Premium sebelum ini, memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mencari kenderaan elektrik mengikut keperluan dan gaya pemanduan masing-masing.
BYD ATTO 3 Performance 2026 tampil sebagai varian paling berkuasa dalam keluarga ATTO 3 dengan peningkatan dari segi prestasi, teknologi dan pengalaman pemanduan.
Menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD), model ini mampu menghasilkan kuasa gabungan sehingga 330 kW dan tork maksimum 560 Nm.
Keupayaan tersebut membolehkan BYD ATTO 3 Performance 2026 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.0 saat, menjadikannya antara SUV elektrik paling pantas dalam segmennya.
Walaupun membawa karakter prestasi tinggi, model ini masih mengekalkan ciri praktikal sebuah SUV elektrik untuk kegunaan harian.
BYD ATTO 3 Performance 2026 dilengkapi Bateri Bilah BYD berkapasiti 74.88 kWh dengan sokongan pengecasan pantas DC sehingga 220 kW.
Ia menawarkan jarak perjalanan sehingga 530 km berdasarkan kitaran NEDC, sesuai untuk kegunaan bandar mahupun perjalanan jarak jauh.
Dari segi teknologi, model ini hadir dengan beberapa ciri tambahan termasuk paparan kepala pada cermin depan (W-HUD), sistem bantuan pemanduan lanjutan (ADAS) serta peti sejuk kenderaan yang menawarkan fungsi penyejukan dan pemanasan.
Selain itu, BYD turut melengkapkan model ini dengan tonneau cover bagi memberikan ruang penyimpanan belakang yang lebih tersusun dan kemas.
Bagi keselamatan, BYD ATTO 3 Performance 2026 menawarkan ciri bantuan pemanduan seperti Intelligent Speed Limit Control (ISLC), Traffic Sign Recognition (TSR), Front Cross Traffic Alert (FCTA) dan Front Cross Traffic Brake (FCTB).
Menurut BYD Malaysia, model ATTO 3 telah menerima sambutan positif daripada pengguna tempatan dengan lebih daripada 13,000 unit kini berada di jalan raya Malaysia.
BYD Sime Motors turut meneruskan usaha memperkukuhkan pengalaman pemilikan pelanggan melalui rangkaian 44 cawangan jualan dan pemasaran, 28 pusat servis serta 12 pusat baik pulih badan dan cat kenderaan.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata pengenalan varian Performance membawa penawaran BYD ATTO 3 ke tahap lebih tinggi menerusi gabungan prestasi, teknologi bateri dan ciri pintar terkini.
Sementara itu, Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew berkata perkembangan model ATTO 3 membuktikan peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik di Malaysia.
BYD ATTO 3 Performance 2026 ditawarkan pada harga RM149,800, manakala varian Ultra dan Premium masing-masing kekal pada harga RM125,800 dan RM138,800.
Pelanggan yang berminat boleh melihat serta membuat tempahan di bilik pameran BYD seluruh Malaysia.
Sempena pelancaran rasmi, BYD turut menyediakan pakej eksklusif bernilai sehingga RM10,000 yang merangkumi pilihan pemasangan standard wall charger bersama overtrade atau pakej servis standard enam tahun bersama overtrade.
Model ini turut hadir dengan pakej jaminan termasuk waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000 km, waranti Bateri Bilah voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000 km serta waranti unit pacuan selama lapan tahun atau 160,000 km.
Dengan gabungan prestasi tinggi, teknologi pintar dan keupayaan elektrik moden, BYD ATTO 3 Performance 2026 menjadi satu lagi pilihan penting dalam perkembangan industri mobiliti elektrik Malaysia.

0 Comments
Post a Comment