Dalam suasana yang meriah dan dipenuhi semangat kewanitaan, program ikonik NONA meraikan ulang tahun ke-41 TV3 menerusi episod khas yang ditayangkan secara eksklusif di saluran tersebut. Bertemakan alam semula jadi dan diinspirasikan oleh nilai keindahan, kreativiti serta kebersamaan, sambutan ini berlangsung di Villa Rimba Flora, Sungai Buloh dalam bentuk acara istimewa dinamakan Cake Piknik.

Menampilkan Amyra Rosli selaku pengacara, acara ini bukan sekadar imbauan memori, tetapi menjadi platform memperingati suara dan kisah kehidupan yang telah membentuk identiti NONA sejak empat dekad lalu. Kolaborasi bersama jenama kek tempatan menyaksikan setiap tetamu membawa kek unik sebagai simbolik sambutan ulang tahun — menjadikan acara ini satu perayaan penuh makna yang meraikan perjalanan TV3 dan kekuatan wanita Malaysia.

Kemeriahan bermula dengan persembahan penuh bertenaga daripada Nabila Razali, sebelum tetamu disambut dalam ruang bertema pastel yang dihiasi dengan kek kreatif hasil sentuhan para baker tempatan. Kek-kek ini diinspirasikan daripada elemen ikonik TV3, menjadikan keseluruhan ruang satu galeri seni kulinari yang mengujakan. Para pengunjung juga berpeluang menikmati kek secara berkumpulan sambil berinteraksi dengan pembuatnya dalam suasana santai dan penuh keceriaan.

Sesi perkongsian “Dramatic Success” menjadi momen paling menyentuh hati apabila dua tokoh industri kulinari — Chef Kecik dan Nor Arieni Adriena — tampil berkongsi kisah jatuh bangun mereka secara jujur dan inspiratif. Dalam masa sama, pengunjung turut disajikan dengan demonstrasi eksklusif daripada Jessica, baker terkenal di sebalik jenama @missshortcakes, yang menunjukkan kreativiti dalam menghias Mille Feuille ulang tahun berbentuk angka 41 — satu simbol perjalanan panjang dan legasi TV3.

Acara kemuncak menyaksikan penyampaian Most Dramatic Cake Award, anugerah istimewa bagi menghargai para pembuat kek berdasarkan kreativiti, emosi dan sentuhan rekaan mereka. Dipilih oleh gabungan juri jemputan dan wakil TV3, anugerah ini melambangkan penghormatan kepada komuniti wanita kreatif yang telah menyumbang kepada warna-warni dunia NONA.

Tidak ketinggalan, aktiviti vendor dan sesi cabutan bertuah turut menceriakan hari para tetamu, menjadikan Cake Piknik lebih daripada sekadar sambutan — ia adalah pentas penghargaan dan perayaan solidariti komuniti wanita yang kreatif, tabah dan penuh inspirasi.

Gabungan kek, kisah dan kenangan menjadikan sambutan ulang tahun ke-41 ini satu momen unggul dan bermakna, bukan sahaja buat TV3 dan NONA, tetapi juga buat seluruh penonton Malaysia yang telah menyokong sejak awal. Untuk terus mengikuti perkembangan program kegemaran anda, layari media sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube melalui @TV3Malaysia, serta @dramasangat di Instagram.