Kumpulan rock legenda tanah air, Spider, bakal kembali menyengat pentas menerusi sebuah persembahan istimewa berkonsepkan ‘unplugged’ yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur. Konsert yang dinamakan SPIDER UNPLUGGED ini menandakan detik penting dalam perjalanan lebih dua dekad mereka dalam industri muzik tempatan.

Sejak kemunculan awal sekitar tahun 1996, Spider bukan sekadar hadir sebagai band ska-rock yang menumpang arus, tetapi telah membina nama besar melalui karya-karya luar biasa seperti Relaku Pujuk, Aladin, Nazraku, Kasih Latifah, dan Cinta Dewa Dewi. Karya mereka bukan sahaja menjadi siulan ramai, malah turut merangkul pelbagai anugerah, termasuk Juara Lagu 2004 untuk Relaku Pujuk dan Album Pop Rock Terbaik AIM 2005 menerusi Nazraku.

Menjelang 29 tahun pembabitan mereka dalam arena muzik, Spider kekal relevan dan berbisa, malah terus memperkenalkan karya baharu seperti single Keluar Sarang (2024) yang membuktikan mereka masih mampu memukau peminat pelbagai generasi.

Melihat kepada sambutan luar biasa yang terus diterima, pihak Naga Legend Entertainment dengan bangga membawakan konsert SPIDER UNPLUGGED buat julung kalinya, dengan jaminan pengalaman yang eksklusif, intim dan pastinya berbeza daripada persembahan konvensional mereka.

Menurut wakil Naga Legend Entertainment, Fandy Alias, pihaknya berbesar hati kerana lamaran untuk bekerjasama disambut baik oleh Spider. Katanya, “Konsep unplugged ini adalah percubaan pertama kami bersama Spider. Kami yakin hasilnya akan menjadi persembahan yang mewah secara artistik dan bakal menjadi kenangan manis buat semua peminat.”

Spider yang kini dianggotai oleh Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bes) dan Pown (gitar) menegaskan bahawa setiap persembahan mereka adalah soal kualiti dan keunikan, bukan sekadar rutin pentas. “Kami tidak mahu naik pentas dan main ala kadar. Apa yang kami janjikan menerusi SPIDER UNPLUGGED ini adalah konsep yang diperhalusi, sistem audio bertaraf tinggi, dan persediaan yang rapi demi memberi persembahan yang akan dikenang peminat,” jelas Tam mewakili kumpulan.

SPIDER UNPLUGGED dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, dan bakal mempersembahkan sisi berbeza Spider dalam suasana yang lebih dekat dan menyentuh emosi. Tiket konsert telah mula dijual bermula 25 April 2025, jam 3 petang menerusi laman web rasmi www.ilassotickets.com/spiderunplugged.

Empat kategori tiket ditawarkan:

  • RM198 – ALADDIN (Free Seating)

  • RM238 – CINTA DEWA DEWI (Numbered Seat)

  • RM298 – KASIH LATIFAH (Numbered Seating)

  • RM388 – RELAKU PUJUK (Numbered Seating)

Peminat dinasihatkan agar tidak berlengah kerana konsert Spider sebelum ini terbukti mendapat sambutan hangat sehingga mencetuskan fenomena ‘sold out’. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan SPIDER UNPLUGGED — sebuah perayaan muzik yang bakal mencipta sejarah baharu buat industri muzik tempatan.