Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai segmen dalam ekosistem ekonomi gig, termasuk pekerja dan pengguna, menzahirkan pendirian bersama untuk menggesa YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, supaya melaksanakan moratorium atau penangguhan sementara terhadap Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872). Gabungan ini terdiri daripada pelbagai organisasi seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (LEAD Malaysia), Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia (PKEH), Pertubuhan Tenaga GiG Melaka (TENAGA GiG Melaka), Persatuan Ekonomi Digital Melaka (EDiM), Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM), Persatuan Rakan Penghantar Kedah (RPK) serta Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak (PKPPBP).

Gabungan ini mengambil maklum usaha kerajaan dalam memperkenalkan rangka perundangan khusus bagi sektor ekonomi gig sebagai langkah untuk memperkukuh perlindungan sosial dan tadbir urus industri yang semakin berkembang. Namun begitu, berdasarkan penelitian awal serta maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh di lapangan, masih terdapat beberapa aspek yang memerlukan penelitian dan penambahbaikan sebelum pelaksanaan menyeluruh dapat dilaksanakan secara berkesan.

Antara isu utama yang dikenal pasti ialah berkaitan takrifan pekerja gig di bawah Seksyen 2 yang dilihat terlalu umum tanpa pembezaan subsektor yang jelas. Keadaan ini berpotensi menyebabkan lambakan tenaga kerja dalam pasaran, sekali gus menekan kadar tambang dan pendapatan pekerja gig tempatan. Selain itu, ia juga boleh menjejaskan peluang ekonomi pekerja tempatan serta mewujudkan persaingan yang tidak seimbang. Terdapat juga pertindihan dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang hanya membenarkan warganegara Malaysia menjadi pemandu e-hailing atau penghantar p-hailing, sedangkan Akta 872 membenarkan pemastautin tetap menyertai sektor tersebut. Situasi ini berpotensi menimbulkan ketidakstabilan industri serta membuka ruang kepada penyalahgunaan akaun jika sempadan kelayakan dan mekanisme penguatkuasaan tidak diperjelaskan.

Selain itu, penubuhan Tribunal Pekerja Gig di bawah Seksyen 22 hingga 30 dilihat belum matang dari segi bidang kuasa, struktur dan prosedur pelaksanaannya. Ia berpotensi bertindih dengan mekanisme penyelesaian pertikaian sedia ada, di samping ketiadaan prosedur operasi standard yang jelas boleh menimbulkan ketidakpastian serta pelaksanaan yang tidak konsisten. Tambahan pula, tiada kepastian sama ada tribunal ini akan diwujudkan di seluruh negara atau hanya berpusat di Putrajaya, yang boleh meningkatkan kos kepada pihak yang perlu menghadiri prosiding.

Majlis Perundingan Gig yang diperuntukkan di bawah Seksyen 31 hingga 37 pula dilihat hanya berfungsi sebagai badan nasihat tanpa kuasa membuat keputusan yang mengikat. Struktur pelantikan ahlinya juga menimbulkan persoalan dari segi ketelusan kerana dibuat oleh Menteri tanpa mekanisme pemilihan terbuka. Ketiadaan kriteria kelayakan yang jelas serta jaminan keterwakilan sebenar pekerja gig daripada pelbagai subsektor berisiko menjejaskan kredibiliti dan keberkesanan majlis ini. Secara keseluruhannya, majlis tersebut berpotensi menjadi sekadar platform simbolik tanpa impak dasar yang nyata.

Isu penyahaktifan akaun di bawah Seksyen 14 turut dibangkitkan, apabila prosedur penggantungan yang mengambil masa tertentu boleh melambatkan tindakan terhadap kes serius, khususnya yang melibatkan keselamatan pengguna. Pendekatan ini tidak selari dengan keperluan operasi ekonomi gig yang memerlukan tindakan pantas dan responsif, sekali gus berpotensi menjejaskan kepercayaan pengguna serta memberi kesan kepada permintaan pasaran dan pendapatan pekerja.

Dari sudut hak berpersatuan, peruntukan di bawah Seksyen 10 dilihat mewujudkan pertindihan saluran representasi pekerja tanpa kejelasan fungsi. Kedua-dua saluran yang wujud tidak mempunyai kuasa rundingan kolektif yang mengikat, berbeza dengan kesatuan sekerja di bawah kerangka undang-undang sedia ada. Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan terhadap kedudukan sebenar pekerja gig dalam sistem perburuhan, selain berisiko menambah lapisan birokrasi tanpa memberi kesan sebenar terhadap perlindungan dan kebajikan pekerja. Isu ini juga berpotensi dibawa ke peringkat antarabangsa kerana didakwa bercanggah dengan piawaian buruh global.

Gabungan ini turut menimbulkan kebimbangan berkaitan pendedahan kepada cukai. Walaupun Akta Pekerja Gig 2025 tidak memperincikan aspek percukaian, pengiktirafan dan penstrukturan pendapatan pekerja gig secara tidak langsung membuka ruang kepada kewajipan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Keadaan ini boleh menambah beban kewangan kepada pekerja gig yang berpendapatan tidak tetap, terutama tanpa jaminan perlindungan seperti pendapatan minimum atau kestabilan bayaran. Kekurangan literasi percukaian juga berpotensi meningkatkan risiko ketidakpatuhan secara tidak sengaja.

Dari segi libat urus dan pelaksanaan, walaupun akta ini telah diluluskan, proses konsultasi masih berjalan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelusan dan keseriusan proses tersebut. Libat urus yang dilihat tidak menyeluruh memberi gambaran bahawa dasar ini dirangka secara tergesa-gesa tanpa penelitian mendalam terhadap realiti di lapangan. Tambahan pula, penglibatan entiti yang baru didaftarkan dalam proses ini menimbulkan persoalan tentang integriti dan ketelusan, khususnya dalam dasar yang melibatkan lebih 1.2 juta penggiat ekonomi gig.

Isu kenaikan premium insurans juga menjadi perhatian apabila peningkatan kos ini memberi tekanan langsung kepada pendapatan pekerja gig. Kos yang meningkat berkemungkinan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan tambang, sekali gus menjejaskan permintaan pasaran. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan antara risiko dan pulangan, serta berpotensi melemahkan keseluruhan ekosistem ekonomi gig jika tiada intervensi dasar yang jelas.

Sehubungan itu, gabungan ini menegaskan bahawa keseimbangan ekosistem industri perlu dipelihara bagi memastikan kelangsungan pendapatan pekerja gig, kestabilan platform dan kepentingan pengguna. Struktur perundangan dan pelaksanaan juga perlu diteliti semula agar selaras dengan undang-undang sedia ada serta realiti operasi sektor gig. Selain itu, proses libat urus perlu diperkukuh supaya lebih inklusif, telus dan berasaskan data lapangan.

Bagi memastikan keberkesanan dasar dan kelestarian industri dalam jangka masa panjang, gabungan ini mencadangkan agar moratorium terhadap Akta Pekerja Gig 2025 dilaksanakan sehingga satu kajian menyeluruh dimuktamadkan. Mereka juga mencadangkan penubuhan platform libat urus berstruktur atau mekanisme “sandbox” untuk menilai impak pelaksanaan secara berfasa, di samping menjalankan penilaian impak yang menyeluruh melibatkan aspek ekonomi, sosial dan perundangan. Sebarang pindaan juga perlu mengambil kira prinsip keadilan, keseimbangan pasaran dan kelestarian ekosistem gig.

Akhirnya, gabungan ini menegaskan bahawa cadangan moratorium tersebut bukan bertujuan menolak inisiatif perundangan, sebaliknya untuk memastikan akta yang diperkenalkan benar-benar holistik, praktikal dan berdaya tahan sebelum dilaksanakan sepenuhnya. Mereka juga kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Kerajaan MADANI serta semua pemegang taruh dalam usaha memperkukuh ekosistem ekonomi gig negara demi kepentingan bersama.