Konsert holografik Glenn Fredly bakal mencipta sejarah baharu dalam dunia hiburan tanah air apabila ia buat julung kalinya berlangsung di Malaysia pada 18 Julai ini di Zepp Kuala Lumpur. Menampilkan teknologi canggih yang ‘menghidupkan’ semula sosok Glenn Fredly di pentas, konsert yang berlangsung selama dua jam setengah ini bukan sekadar acara mengenang pemuzik lagenda itu, tetapi sebuah pengalaman seni penuh jiwa yang membawa penonton menyanyi, menari dan menikmati memori yang ditinggalkan beliau.
Menambah lagi keterujaan, penyanyi Malaysia, Bella Astillah, diumumkan sebagai sebahagian daripada barisan artis baharu yang mengisi line up konsert ini. Mengakui Glenn Fredly sebagai sumber inspirasinya sejak kecil, Bella menyifatkan peluang ini sebagai satu penghormatan besar. “Sejak dulu saya memang meminati lagu-lagu beliau seperti Kasih Putih, Januari dan Akhir Cerita Cinta. Muziknya sangat dekat di hati dan saya percaya ramai yang juga membesar dengan karya beliau,” kata Bella yang masih merahsiakan bentuk persembahan yang bakal dipersembahkannya nanti.
Selain Bella, konsert ini turut menampilkan barisan penyanyi hebat dari Malaysia dan Indonesia termasuk The Bakuucakar, Noh Salleh, Mutia Ayu, Rian Ekky Pradipta, Nadira Adnan, Gretchene Quirina, Matthew Sayersz dan Allan Anderson. Nadira Adnan merupakan penyanyi kelahiran Malaysia yang berjaya membina nama di Indonesia, manakala Matthew Sayersz pula dikenali dengan lagu-lagu berentak R&B dan pop jazz serta penglibatannya dalam penerbitan album.
Selepas kejayaan luar biasa konsert yang sama di Beach City International Stadium, Jakarta dua tahun lalu, Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi kedua bagi meneruskan legasi seni Glenn. Diterajui oleh Premier Live Productions bersama Matahati Sdn Bhd, konsert ini membuktikan bahawa kehilangan fizikal bukan penghalang untuk terus meraikan cinta terhadap muzik Glenn Fredly yang merentas generasi.
Bagi peminat yang ingin menyertai perayaan seni ini, penganjur turut menyediakan promosi istimewa – termasuk pembelian tiket couple pada harga RM266 sahaja. Untuk pembelian individu, peminat boleh menikmati diskaun 30% dengan menggunakan kod promosi khas seperti GlennXBella, GlennXAllan atau GlennXNoh semasa pembelian. Tiket kini boleh didapati melalui laman web rasmi www.ticket2u.com/GlennHologram.
Untuk sebarang maklumat lanjut dan kemas kini terkini, peminat boleh mengikuti saluran media sosial rasmi penganjur menerusi akaun @premierlivepro, @bumientertainment, @musikbagusrecords, @glennfredlymusik, @matahatilive dan @blacksky.asia. Konsert ini bukan hanya sekadar hiburan, tetapi satu penanda aras dalam sejarah muzik Asia Tenggara – menyatukan teknologi dan kenangan dalam satu malam yang pasti dikenang.
0 Comments
Post a Comment