Lebih tiga dekad selepas versi asalnya muncul dalam album Diammu Gunung Berapi, Alasanmu kini diberi nyawa baharu dengan susunan muzik yang lebih sinematik, penulisan struktur semula, serta vokal bertenaga daripada Ezad Lazim. Vokalis ini menyertai Exists pada era kematangan mereka dan membawa perubahan ketara dalam hala tuju muzik kumpulan ini. “Saya bukan masuk Exists untuk ganti sesiapa. Saya masuk sebab sayangkan muzik dan percaya dengan ‘chemistry’ kami,” jelas Ezad yang turut menegaskan bahawa Alasanmu menyentuh kisah sebenar mereka yang pernah dikecewakan dan dikhianati.
Menurut pemain gitar utama Exists, Along, lagu ini selama ini sering dilihat sebagai lagu cinta, tetapi hakikatnya tercipta dari peristiwa peribadi yang menyayat hati. “Ia tentang kepercayaan yang musnah dan luka yang datang dari tempat yang sepatutnya profesional,” katanya. Sementara itu, dramatis Ujang menambah, “Kami pernah sampai ke titik paling rendah, tapi kami pilih untuk bangkit. Lagu ini adalah cara kami lepaskan semua beban itu – bukan untuk balas dendam, tapi sebagai penutup yang bermaruah.”
Proses rakaman versi 2025 mengambil masa beberapa bulan, dengan penekanan terhadap susunan muzik dan ekspresi emosi dalam penyampaian vokal. Menariknya, Alasanmu juga pernah digunakan secara tidak rasmi oleh seorang tokoh politik semasa PRU14, kerana kekuatan liriknya yang mampu menyentuh pelbagai lapisan masyarakat, dari peminat muzik hingga ke pentas politik.
Exists yang ditubuhkan sejak awal 90-an terdiri daripada anggota asal seperti Along, Shah, Musrad, Ujang, Ajai, dan Mamat, kini terus melangkah bersama Ezad. Antara karya-karya mereka yang lain termasuk Jesnita, Anugerah, Julia, Untukmu Ibu, dan Rahsia Pohon Cemara — kesemuanya meninggalkan impak besar dalam industri.
Lebih membanggakan, katalog muzik Exists telah mencapai lebih 2.2 bilion jumlah strim digital setakat ini di seluruh platform, termasuk lagu-lagu malar segar mereka yang kekal relevan hingga ke hari ini.
Kini, Alasanmu Versi 2025 sudah boleh distrim melalui semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan banyak lagi — satu persembahan semula yang bukan sahaja menyentuh hati, tetapi juga mendedahkan sisi sebenar Exists yang belum pernah didengar.
0 Comments
Post a Comment