Diarahkan oleh Along Kamaludin dan diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, Hilang Dalam Rindu turut menampilkan gandingan pelakon muda berbakat seperti Jazmy Juma, Qistina Rania dan Zarif Ghazzi. Naskhah ini membawa penonton menyusuri kisah menyayat hati seorang wanita yang cuba menyusun kembali cebisan hidupnya selepas kehilangan ingatan—terperangkap dalam masa silam yang kabur dan perkahwinan tanpa cinta.
Aira Nadira, yang tersedar daripada koma, mendapati dirinya telah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Nadim Eijaz (lakonan Jazmy Juma) — yang bukan sahaja dingin dan tidak mesra, malah tidak memberikan sebarang penjelasan tentang hubungan mereka. Dalam pencarian jawapan, Aira semakin bingung apabila tidak seorang pun di sekelilingnya mahu berkata benar, malah sikap adik iparnya yang beracun memburukkan lagi keadaan.
Ketika Aira cuba memahami dirinya yang dahulu, satu demi satu rahsia terbongkar. Ternyata, Aira sebelum koma adalah seorang wanita yang keras hati dan penuh dendam—berbeza jauh dengan dirinya yang sekarang, yang lembut dan sering dihantui kekeliruan. Dalam proses itu, benih cinta antara Aira dan Nadim mula tumbuh, namun terhalang oleh masa silam yang kelam dan agenda tersembunyi di sebalik perkahwinan mereka.
Tracie Sinidol mengakui watak ini memberikan pengalaman paling mencabar sepanjang kerjayanya. “Saya perlu menghidupkan dua sisi berbeza dalam satu karakter. Aira sebelum koma sangat keras dan penuh emosi, manakala versi selepas koma pula sangat lembut dan keliru. Ia menuntut perbezaan yang halus tetapi ketara dalam intonasi, bahasa tubuh dan ekspresi. Ia benar-benar menguji kemampuan saya dan saya bersyukur diberi peluang mendalami watak sekompleks ini,” jelas Tracie.
Hilang Dalam Rindu bukan sekadar drama misteri dan percintaan, tetapi juga naskhah yang menyelami jiwa seorang wanita yang cuba berdamai dengan luka silamnya. Siapakah Aira yang sebenar, dan adakah dia akan menemui jalan keluar daripada kekeliruan yang membelenggu hidupnya?
Ikuti perkembangan drama ini serta kandungan eksklusif lain di platform media sosial TV3 seperti Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube menerusi akaun rasmi @TV3Malaysia serta @dramasangat di Instagram. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi saksi kepada kisah yang sarat emosi, konflik dan penemuan diri dalam Hilang Dalam Rindu.
0 Comments
Post a Comment