Siapa sangka alam rumah tangga yang baharu dibina mampu mengundang tawa, air mata dan segala kekalutan yang manis? TV3 mempersembahkan sebuah drama komedi ringan berkonsep mockumentary yang cukup segar bertajuk “Selamat Pengantin Haru!”, menampilkan pasangan sebenar, Janna Nick dan Dini Schatzmann, dalam gandingan paling bersahaja mereka setakat ini.
Karya terbitan Zeel Production Sdn Bhd dan arahan Kyoll Hamzah ini bakal menghiasi slot Akasia mulai 9 Julai 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3, dengan strim eksklusif 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my serta aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Drama sitkom 13 episod ini menyajikan kisah Amelie, wanita moden dan berdikari lakonan Janna Nick yang berkahwin dengan Bazlee, lelaki kampung yang sangat akrab dengan keluarganya, dibawakan oleh Dini Schatzmann. Apa yang disangka perkahwinan bahagia rupanya dipenuhi dengan pelbagai cabaran – daripada adik-beradik yang terlalu bergantung, budaya hidup yang berbeza, hingga kemunculan cinta lama yang masih berbekas di hati.
‘Selamat Pengantin Haru!’ bukan sekadar drama komedi yang ringan, tetapi turut menyelami pergelutan emosi dan dilema realiti rumah tangga moden – terutamanya apabila cinta diuji oleh perbezaan nilai, kekangan keluarga dan gangguan luar. Pergelutan antara cinta dan tanggungjawab keluarga menjadi teras kepada naratif yang dilatari dengan jenaka dan momen-momen menyentuh hati.
Menurut Janna Nick, peluang berlakon dalam genre komedi bersama suaminya memberikan cabaran yang berbeza:
“Walaupun ini kali keempat kami digandingkan, genre komedi menjadikan cabaran lebih menarik. Watak kami sering ‘bertekak manja’, jadi penting untuk chemistry itu nampak semula jadi. Drama ini walaupun ringan, tetap menyampaikan mesej yang dekat dengan realiti pasangan berkahwin.”
Selain Janna dan Dini, drama ini turut dibintangi oleh Malia Baby, Dato Tamimi Siregar, Serena Redzuawan dan ramai lagi pelakon berbakat yang menambah rencah kepada drama penuh ragam ini.
Pastikan anda tidak terlepas menyaksikan Selamat Pengantin Haru!, sebuah drama yang menggabungkan jenaka spontan dan makna mendalam dalam kehidupan berumahtangga, bermula 9 Julai ini hanya di TV3. Untuk kemas kini dan info terkini, ikuti @TV3Malaysia dan @dramasangat di semua platform media sosial.

0 Comments
Post a Comment