Dalam usaha memperkasakan rakyat Malaysia dengan maklumat dan amaran tentang bahaya jenayah dalam talian, CelcomDigi Berhad melancarkan segmen khas Kisah Benar: Scam Siber menerusi kerjasama strategik bersama Media Prima Berhad dan OMD Malaysia. Disiarkan dalam rancangan ikonik 999 di TV3, segmen ini akan bersiaran selama 13 episod bermula 1 Julai hingga 23 September 2025, setiap Selasa jam 9.00 malam.

Kisah Benar: Scam Siber menampilkan lakonan semula kejadian sebenar yang pernah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan diperkukuh dengan kapsul informasi yang menyediakan tip pencegahan siber secara mudah, ringkas dan praktikal. Antara bentuk penipuan yang akan dibongkar termasuk Macau Scam, Love Scam, Parcel Scam, penipuan pelaburan, tawaran kerja palsu, dan scam ganjaran tunai.

Inisiatif ini hadir tepat pada masanya tatkala jenayah siber semakin kompleks – dari kejuruteraan sosial sehinggalah pencurian data peribadi melalui laman sesawang palsu. Melalui kekuatan penceritaan visual 999, penonton dapat memahami modus operandi penjenayah dengan lebih dekat dan bersedia untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berdepan situasi mencurigakan.

Menurut Chan May Ling, Ketua Perkhidmatan Jenama & Pemasaran CelcomDigi, kesedaran merupakan benteng pertahanan pertama terhadap ancaman siber. “Kami tidak hanya mahu dilihat sebagai syarikat telekomunikasi, tetapi sebagai peneraju keselamatan digital yang menyumbang kepada kesejahteraan pengguna internet. Kisah benar yang dipaparkan mencerminkan realiti sebenar masyarakat, dan boleh dijadikan panduan untuk mengenali dan mengelak dari menjadi mangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mayank Bhatnagar, Pengarah Urusan OMD Malaysia berkata, pendekatan ini bukan sahaja mendidik, malah menyampaikan nilai dan mesej bermakna yang membina kepercayaan pengguna terhadap jenama. “Kembalinya format Kisah Benar membolehkan kami menyentuh isu penipuan siber dari sudut budaya dan realiti masyarakat. Ia bukan sekadar pendedahan jenayah, tetapi juga bentuk perlindungan melalui pengetahuan.”

Untuk mereka yang terlepas siaran di televisyen, kandungan penting akan turut tersedia di media sosial rasmi @TV3Malaysia dan @999tv3 dalam bentuk kapsul pendek, manakala episod penuh boleh ditonton semula di platform penstriman Tonton. Dengan capaian luas CelcomDigi dan kekuatan TV3 sebagai penyampai maklumat jenayah utama, kempen ini dijangka memberi kesan mendalam dalam memerangi ancaman penipuan siber di negara ini.