Afea Deanna Baharudean, figura yang pernah menggegarkan media sosial dengan watak komedinya sebagai “Yah Kuchai”, kini membuka lembaran baharu dalam kerjaya seni apabila mengorak langkah ke dunia muzik. Menerusi nama pentasnya, Yah!, beliau bakal melancarkan single pertama berbahasa Inggeris berjudul My Song To You pada 6 Jun 2025 di semua platform penstriman digital, dengan pelancaran awal di TikTok bermula 30 Mei.

Lagu ini bukan sekadar karya sulungnya sebagai penyanyi, malah mewakili satu sisi peribadi yang selama ini jarang ditonjolkan. Digarap sepenuhnya oleh Yah! sendiri bersama tiga komposer – Ku Yen, Barr Hadif dan Rudy Nastia – My Song To You membawa mesej cinta, penghargaan, dan penyembuhan emosi. Lagu ini ditulis sebagai dedikasi kepada semua insan yang pernah memberi makna dalam kehidupannya.

“Lagu ini sangat dekat dengan hati saya. Ia mewakili pengalaman, kenangan dan harapan saya untuk orang yang mendengarnya. Saya mahu mereka rasa difahami, walau siapa pun mereka, atau di mana pun mereka berada,” jelas Yah! yang juga pernah menuntut dalam jurusan TESL di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Berbekalkan latar belakang akademik dalam bahasa Inggeris, penulisan lirik lagu ini menjadi satu pengalaman semula jadi buatnya. Malah, ia membuka peluang untuk beliau berkarya dalam medium yang lebih luas dan bersifat global.

Kerjasama strategik antara dua label – Buduck Records dan Sony Music Malaysia – telah menjadi tulang belakang dalam pelancaran single ini. Dukungan yang diterima daripada kedua-dua pihak mengukuhkan lagi azam Yah! untuk menjadikan muzik sebagai laluan kerjaya jangka panjang, bukan sekadar percubaan semata-mata.

“Saya tahu ramai mengenali saya menerusi watak komedi, tetapi minat terhadap muzik ini sudah lama saya pendam. Ini bukan langkah sementara – ini adalah satu permulaan yang saya ambil dengan sepenuh hati dan harapan,” katanya penuh yakin.

Yah! turut menyuarakan impiannya untuk menjadikan lagu ini sebagai jambatan antara dirinya dan pendengar dari seluruh dunia, sekaligus membuktikan bahawa bakat dari Malaysia juga mampu menyentuh hati khalayak antarabangsa.

Dengan My Song To You, Yah! bukan sahaja memperkenalkan sisi baharunya kepada para peminat, tetapi juga menandakan permulaan serius dalam menjadikan muzik sebagai medium utama ekspresi dan komunikasi jiwanya.