Selepas mencetus fenomena dan tular di media sosial, drama Hilang Dalam Rindu kini bukan sahaja menjadi topik hangat netizen, malah dua pelakon utamanya, Jazmy Juma dan Zarif Ghazzi, turut menerima tempias populariti luar biasa. Dalam satu sesi live borak santai baru-baru ini, kedua-dua aktor tampil dengan gaya bersahaja dan menghiburkan, sambil “spill the tea” tentang apa yang berlaku selepas nama mereka melonjak naik.

Menariknya, dalam sesi tersebut, Jazmy dan Zarif sempat ‘terbawa’ watak masing-masing sebagai Eijaz dan Sarip, lengkap dengan gurauan tentang karakter Aira yang menjadi rebutan mereka dalam drama. Jazmy membuka bicara dengan menyakat, “Kau kat mana?” dan Zarif spontan membalas, “Aku baru lepas hantar Aira tadi.” Dialog mereka menjadi semakin lucu apabila Jazmy mengugut untuk “pancitkan motor” Sarip, dan Zarif pula dengan selamba membalas mahu “pancitkan BMW” Eijaz. Gelagat mereka mencuit hati penonton dan membuktikan chemistry antara mereka kekal kuat walaupun di luar set penggambaran.

Sesi menjadi lebih panas apabila team Drama Sangat mula melontarkan soalan-soalan cepumas — termasuk isu mesej peribadi (DM) yang kini dikatakan dibanjiri peminat wanita. Antara yang mencuri perhatian, apabila Zarif ditanya sama ada benar dia menerima DM bukan saja daripada gadis muda, tetapi juga “mak-mak dan isteri orang”. Reaksi Zarif? Cukup ringkas dan penuh makna, “Uishh… banyak.” Jazmy pula pantas menyakat rakannya, “Zarif lari daripada soalan! Tapi ramai, ya.”

Tidak cukup dengan itu, team Drama Sangat turut berseloroh bahawa Eijaz mungkin tak perlu terlalu kecewa kalau gagal memenangi hati Aira, kerana peminat wanita di luar sana kini beratur menunggu. Namun Jazmy tetap ‘cover line’ dengan baik, “Saya dah janji dengan Aira yang saya akan setia. Jangan buat saya macam ni.”

Rata-rata penonton yang mengikuti sesi live itu tidak kering gusi dengan telatah mereka. Malah, ruangan komen dipenuhi dengan komen lucu daripada peminat, antaranya, “Pakcikk, kami nak Aira!” – membuktikan betapa kuatnya impak gandingan duo ini di hati penonton.

Untuk yang masih belum menonton, Hilang Dalam Rindu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3. Anda juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di Tonton melalui pautan www.tonton.com.my.