Malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) yang disiarkan secara langsung di TV3 menyaksikan detik gemilang buat pelakon baharu penuh karisma, Zarif Ghazzi, apabila beliau diumumkan sebagai penerima anugerah Selebriti Newcomer Terhangat, hasil undian 100% daripada peminat seluruh Malaysia.
Dengan persona tenang, bakat besar dan aura yang memikat, Zarif berjaya mengungguli kategori yang menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan pendatang baharu lain yang turut mencuri perhatian industri hiburan tanah air. Kemenangan ini sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara wajah baharu paling menonjol dan berpengaruh pada tahun ini.
Menerusi ucapan kemenangan yang penuh emosi, Zarif meluahkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan yang diterimanya. “Saya masih terkejut… ini anugerah pertama saya. Perjalanan saya dalam industri masih jauh, dan saya berjanji untuk terus berusaha memperbaiki diri. Terima kasih kepada TV3 kerana memberi platform, dan paling penting, kepada peminat yang tak henti menyokong dan percaya sejak awal. Kemenangan ini adalah milik anda semua,” ujarnya selepas menerima trofi.
Kemenangan Zarif dilihat sangat simbolik dan selari dengan tema AMT2025: “Sehebat Prestasi, Sehangat Sensasi, Bakat Tersendiri”, yang menekankan pentingnya bakat dan usaha dalam membina nama, bukan semata-mata populariti sementara.
Zarif yang mula dikenali menerusi beberapa drama popular terbitan TV3, kini diiktiraf bukan sahaja kerana popularitinya, tetapi juga kerana mutu lakonan serta keupayaannya menghidupkan watak dengan berkesan. Beliau dianggap sebagai antara pelapis berbakat besar yang mampu membawa nafas baharu kepada landskap hiburan tempatan.
Kemenangan ini turut diraikan secara meluas di media sosial, dengan tanda sokongan dan ucapan tahniah daripada peminat serta rakan industri. Nama Zarif Ghazzi kini secara rasmi berada dalam radar sebagai “newcomer” yang wajar diberi perhatian bersedia mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Dengan pengiktirafan ini, AMT2025 sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform berprestij dalam menghargai bakat-bakat baharu yang bukan sahaja bersinar di kaca televisyen, tetapi juga di hati rakyat Malaysia.
0 Comments
Post a Comment