Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) melalui Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan mengumumkan satu kerjasama istimewa bersama Neo Gendang Records, yang diterajui oleh dua ikon rock tanah air, Edrie Hashim dan kumpulan Candy Malaysia. Kolaborasi ini diwujudkan melalui kursus APS 5123: Pengurusan Produksi Muzik di bawah seliaan pensyarah, Encik Wan Mohamed Syamil bin Wan Shamsul Anuar. Pada masa yang sama, ia turut menjadi pelancaran rasmi program Siri Jelajah Universiti “Pistol & Bunga”, dengan ASWARA dipilih sebagai lokasi pertama.

Program “Pistol & Bunga” membawa simbolik yang menggambarkan gabungan tenaga rock dan kelembutan melodi. Pistol mewakili Edrie Hashim, seorang tokoh besar dalam industri muzik tanah air yang dikenali sebagai ketua kumpulan Projek Pistol serta berpengalaman luas sebagai pengarah muzik, penerbit, penulis lirik dan pemain gitar kumpulan Wings sejak 2015. Manakala Bunga mewakili kumpulan Candy, band rock wanita lagenda yang ditubuhkan pada 1996 dan terkenal dengan lagu “Akan Ku Tunggu”. Candy dianggotai oleh Patricia Robert selaku penyanyi utama, Nancy Graggory sebagai pemain bass dan penyanyi kedua, Anis Kalisa di posisi gitar serta Bulan Terry di bahagian drum. Kumpulan ini pernah mencatat pencapaian besar apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori Most All Female Bands Performing Simultaneously pada tahun 2023.

Candy kekal aktif sehingga kini dengan pelbagai persembahan pentas dan pada September 2024 lalu kembali dengan single terbaharu berjudul “Setia2u”, ciptaan Edrie Hashim di bawah label Neo Gendang Records. Kehadiran single tersebut menjadi hadiah istimewa buat peminat yang setia menantikan kemunculan mereka. Melalui program jelajah ini juga, Candy bukan sahaja mempromosikan karya baharu mereka, tetapi turut memperkenalkan anggota baharu serta mendekatkan diri dengan generasi muda.

Menurut Edrie Hashim, objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar ASWARA, khususnya dalam bidang muzik dan pengurusan seni, untuk bekerjasama secara langsung dengan artis profesional. Melalui kolaborasi ini, pelajar berpeluang merasai pengalaman sebenar dalam aspek pengurusan produksi, pengurusan pentas, promosi, pemasaran, kewangan serta teknikal persembahan. Lebih penting lagi, beliau mahu berkongsi ilmu dan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri muzik bersama generasi baharu yang bakal mewarnai masa depan muzik tempatan.

Pada hari yang sama, ujibakat khas telah diadakan di Studio Rakaman ASWARA bermula jam 10 pagi hingga 3 petang. Sesi ini terbuka kepada semua pelajar ASWARA yang berbakat dalam permainan gitar, bass, drum dan keyboard. Ujibakat tersebut diadili oleh tiga panel juri berpengalaman iaitu Edrie Hashim, Hafiz Shah dan Reza Mohammad. Pelajar yang terpilih akan dibentuk menjadi sebuah band baharu dan bakal membuat persembahan bersama Edrie Hashim dan Candy pada 20 September 2025, jam 8.30 malam di Orchestra Hall, ASWARA.

Program “Pistol & Bunga” bukan sahaja menghargai sumbangan lagenda rock Malaysia seperti Edrie Hashim dan Candy, tetapi juga berperanan memperkenalkan semula muzik rock kepada generasi muda serta mengekalkan kesinambungan minat terhadap industri muzik tempatan. Ia diharapkan mampu memupuk penghargaan terhadap muzik dan instrumen tempatan, memberi nilai tambah kepada fakulti melalui penganjuran acara berskala industri, selain membuka peluang jaringan dan kerjasama bersama pemain industri seni. Lebih daripada itu, projek ini dijadikan platform pembelajaran praktikal untuk pelajar kursus Pengurusan Produksi Muzik bagi membuktikan keberkesanan kurikulum melalui pengalaman bersama artis profesional.

Selepas ASWARA, destinasi seterusnya bagi siri jelajah ini ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2026. Universiti Malaya (UM) juga sedang dalam perbincangan, manakala beberapa universiti lain termasuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berada dalam perancangan untuk turut serta menganjurkan program ini.

Edrie Hashim dan Candy menzahirkan penghargaan kepada pihak media yang sentiasa menyokong serta mengiktiraf kerjaya seni mereka sepanjang berada dalam industri muzik tanah air. Dengan usaha berterusan ini, “Pistol & Bunga” diyakini bakal menjadi medium penting dalam menghubungkan lagenda muzik rock Malaysia dengan generasi baharu yang mencintai seni dan budaya.