Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menzahirkan penghargaan tinggi kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan sebanyak RM2.4 bilion yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, untuk FELDA, RISDA dan FELCRA. Peruntukan besar ini jelas mencerminkan keprihatinan serta komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan lebih 720,000 peneroka, pekebun kecil dan keluarga mereka terus terpelihara. Ia juga menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh kemampanan sosioekonomi komuniti tanah rancangan di seluruh negara.
FELDA menyifatkan langkah ini sebagai kesinambungan kepada agenda kerajaan dalam memperkasa golongan peneroka serta memperkukuh sektor perladangan negara yang menjadi tunjang ekonomi luar bandar. Dalam masa yang sama, fokus Belanjawan 2026 yang menekankan inovasi dan mekanisasi pertanian turut memberi ruang kepada FELDA untuk terus bergerak seiring dengan arus kemajuan teknologi moden.
FELDA turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri mengenai pengambilalihan FGV yang dilihat sebagai satu langkah strategik ke arah melestarikan FELDA dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap warga peneroka. Selaras dengan itu, FELDA akan memperkukuh ekosistem perladangan pintar dan lestari, termasuk memperluas penerapan teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing serta memaksimumkan nilai rantaian industri sawit. Usaha ini seiring dengan pelaksanaan Pelan Strategik FELDA 2025–2030 yang memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing global serta kesejahteraan komuniti peneroka untuk jangka panjang.
FELDA menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap peruntukan yang diterima dimanfaatkan secara optimum dengan berpaksikan prinsip integriti dan tadbir urus terbaik. Semua inisiatif yang dirancang akan dilaksanakan dengan tumpuan kepada keberhasilan sebenar di lapangan supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh warga peneroka dan generasi baharu FELDA yang menjadi harapan masa depan organisasi itu.
0 Comments
Post a Comment