Apabila rahsia lama kembali menghantui dan cinta yang disangka abadi mula goyah, persoalan terbesar muncul, mampukah sebuah keluarga bertahan di tengah badai pengkhianatan? Drama bersiri Takdir Cinta Terlarang arahan Idora Abdul Rahman mengangkat tema cinta, dendam dan pengkhianatan yang menyelubungi rumah tangga, menyingkap perjalanan Adham, anak sulung lakonan Jazmy Juma, yang terpaksa berdepan dengan bekas kekasihnya yang kini bergelar ibu tiri.
Drama bergenre cinta, keluarga dan dendam ini bakal disajikan dalam 28 episod penuh emosi dengan barisan pelakon hebat termasuk Jazmy Juma, Shaza Bae, Norish Karman dan Tony Eusoff. Setiap episod membawa penonton menghayati perjalanan emosi yang penuh konflik dan menyentuh hati. Drama ini akan mula ditayangkan pada 23 September 2025, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di slot Akasia TV3, selain boleh distrim secara percuma di aplikasi iQIYI bermula jam 8.00 malam.
Takdir Cinta Terlarang mengisahkan kehidupan keluarga Kamarul lakonan Tony Eusoff dan Hatiqah yang dibawakan oleh Norish Karman. Mereka telah berumah tangga selama 28 tahun dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Adham yang dilakonkan oleh Jazmy Juma, Asyraf lakonan Darien Ael dan Asmalia lakonan Manda Hash. Namun kebahagiaan keluarga ini mula tergugat apabila Kamarul membuat keputusan untuk berkahwin dengan Sarah lakonan Shaza Bae, bekas kekasih Adham.
Ketika menuntut di Australia, Adham pernah meninggalkan Sarah sehingga gadis itu gagal menamatkan pengajiannya, meninggalkan luka yang tidak pernah sembuh. Pertemuan semula mereka membangkitkan kembali konflik lama, lebih-lebih lagi apabila Kamarul mula mengabaikan Hatiqah demi memihak kepada Sarah. Kecewa dan marah dengan situasi tersebut, Adham mula merancang untuk membalas dendam. Dia menggunakan pesona dan kemesraan bagi menggoda Sarah dengan niat untuk meruntuhkan perkahwinan bapanya. Namun dalam permainan berbahaya itu, Sarah turut terjebak dan semakin hanyut dalam perasaan yang bercampur baur.
Kebenaran akhirnya terbongkar apabila hubungan terlarang mereka diketahui keluarga. Kekalutan besar tercetus, dan Kamarul akhirnya menceraikan Sarah sebelum kembali kepada Hatiqah untuk menebus kesilapan lalu. Meski begitu, luka yang ditinggalkan terlalu dalam dan tidak mudah dipulihkan, menjadikan kisah ini penuh dengan rasa kehilangan, pengkhianatan dan penyesalan.
Menurut Jazmy Juma, watak Adham merupakan cabaran terbesar dalam kariernya kerana menuntut permainan emosi yang bertentangan antara cinta, dendam dan maruah keluarga. Beliau menjelaskan bahawa kekuatan watak ini terletak pada konflik dalaman yang mendalam, di mana Adham terperangkap antara tanggungjawab sebagai anak, perasaan seorang kekasih yang terluka serta maruah sebagai lelaki.
Lebih daripada sekadar kisah cinta dan skandal, Takdir Cinta Terlarang menyingkap realiti rumah tangga yang diuji oleh pengkhianatan, rahsia lama dan dendam yang membara. Setiap keputusan dan rahsia yang disembunyikan menjadi refleksi kepada cabaran sebenar dalam kehidupan moden hari ini, di mana cinta dan kepercayaan sentiasa diuji. Drama ini membawa mesej bahawa hanya mereka yang berani menghadapi kebenaran mampu menemukan kedamaian dalam hidup.
Penonton iQIYI VIP berpeluang menonton episod baharu secara ekspres setiap hari pada jam 8.00 malam di aplikasi iQIYI, manakala tontonan percuma boleh diakses selepas 48 jam tayangan. Aplikasi iQIYI boleh dimuat turun melalui App Store dan Play Store.
Sejak mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2020, iQIYI terus mencatat kejayaan membanggakan dengan peningkatan pengguna lebih 15 kali ganda. Pada tahun 2021, ia tersenarai sebagai platform penstriman nombor satu Asia di Malaysia berdasarkan jumlah muat turun, pengguna aktif bulanan serta masa tontonan di platform tersebut.
Untuk perkembangan terkini mengenai drama dan kandungan kegemaran anda, ikuti laman sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta akaun rasmi Drama Sangat @dramasangat.
0 Comments
Post a Comment