Filem terbaharu berjudul Klepet terbitan Wawa Global Sdn. Bhd. hadir dengan gabungan aksi, komedi dan elemen misteri yang menjanjikan hiburan segar buat penonton tempatan. Naskhah arahan Indra Putra atau lebih dikenali sebagai Sanji ini membawa penonton mengikuti perjalanan tiga sahabat yang berubah menjadi huru-hara selepas kemunculan seorang gadis misteri dari Ukraine.
Segalanya bermula apabila enam sekawan, iaitu Paly, Jany dan Wady, memulakan pengembaraan santai dengan menaiki kenderaan motorhome. Apa yang sepatutnya menjadi percutian menyeronokkan bertukar tragedi apabila mereka bertemu dengan Lola, gadis misteri yang tiba-tiba muncul dan mengubah keseluruhan perjalanan mereka. Dari saat itu, keadaan semakin tidak terkawal dengan kemunculan seorang pembunuh upahan, penemuan wang berkepuk, dan pelbagai situasi kelam-kabut yang mencetuskan kekecohan penuh gelak tawa dan mendebarkan.
Menurut pengarahnya, Indra Putra, beliau tertarik untuk mengarahkan Klepet kerana jalan ceritanya yang mempunyai kelainan tersendiri meskipun dihasilkan dalam bentuk hiburan ringan. Filem ini menggabungkan pelbagai lapisan komedi, daripada unsur komikal dan animasi hinggalah lawak spontan yang disesuaikan dengan situasi babak. Pendekatan ini menjadikan Klepet tampil unik berbanding filem-filem aksi komedi lain yang pernah ditayangkan.
Lebih menarik, Klepet menampilkan gandingan pelakon lelaki popular Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir Nasar sebagai teraju utama. Filem ini turut diperkuatkan dengan barisan pelakon berpengalaman seperti Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, Adlin Aman Ramlie serta pelakon kelahiran Ukraine, Darina Porhun, yang membawa watak gadis misteri bernama Lola.
Sebagai penerbit, Aeril Zafrel menjelaskan bahawa Klepet menawarkan kelainan bukan sahaja dari segi penceritaan tetapi juga pendekatan visualnya. Ia menggabungkan tenaga pelakon yang dianggap sebagai ‘Hero Malaya’, menghasilkan satu persembahan yang penuh warna dan daya tarikan tersendiri. Bagaimanapun, Aeril menegaskan bahawa Klepet bukan sekadar hiburan kosong kerana turut menyelitkan mesej sosial yang menyentuh tentang nilai persahabatan, kepekaan terhadap keadaan sekeliling, serta semangat saling menyokong antara satu sama lain.
Menurutnya lagi, filem ini dekat dengan jiwa anak muda kerana mengetengahkan kisah tentang persahabatan, pengorbanan dan perjalanan yang penuh pengajaran. Harapan beliau agar Klepet dapat menjadi sebuah naskhah yang bukan sahaja mencuit hati tetapi juga memberi inspirasi kepada penonton, selain sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
Proses penggambaran Klepet dijalankan sepenuhnya di sekitar negeri Melaka selama 25 hari dengan kos penerbitan sebanyak RM2.6 juta. Filem ini turut menerima bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi melengkapkan pembikinannya.
Kelpet bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 November 2025. Tiket sudah boleh didapati melalui laman sesawang www.tgv.com.my atau menerusi aplikasi TGV. Dengan jalan cerita yang mencuit hati, penuh aksi dan sarat mesej tentang persahabatan, Klepet dijangka menjadi antara filem aksi komedi tempatan yang paling dinanti tahun ini.
0 Comments
Post a Comment