Dua kumpulan muzik tersohor dari Indonesia, Radja dan Wali, bakal menggegarkan Malaysia menerusi konsert gabungan istimewa berjudul Pentas RadjaWali Live in Malaysia, yang dijadualkan berlangsung pada 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya. Gabungan nama “RadjaWali” sendiri membawa makna simbolik menggambarkan penyatuan dua legenda muzik Nusantara yang masing-masing memiliki keunikan, kekuatan tersendiri serta kelompok peminat yang amat besar di rantau ini.
Konsert ini menjanjikan sebuah malam penuh kehangatan, emosi dan kenangan, di mana kedua-dua kumpulan bakal menghadiahkan persembahan terbaik mereka kepada para peminat setia. Bagi penyokong Radja, lagu-lagu popular seperti “Jujur”, “Tulus”, “Bulan” dan “Cinderella” pastinya bakal mengembalikan nostalgia era keemasan muzik pop rock Indonesia. Manakala peminat Wali pula bakal dihiburkan dengan seleksi lagu hits seperti “Cari Jodoh”, “Baik-Baik Sayang”, “Yunk”, “Doaku Untukmu Sayang” dan “Tomat (Tobat Maksiat)” yang telah menjadi siulan ramai sejak lebih sedekad lalu.
Radja yang ditubuhkan pada tahun 2001 di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, dianggotai oleh Ian Kasela (vokal), Moldy (gitar utama), Indra Riwayat (bass) dan Seno Aji Wibowo (dram). Dikenali dengan genre pop rock dan rock melayu moden, kumpulan ini tidak menyembunyikan rasa teruja mereka untuk kembali ke pentas Malaysia. “Malaysia selalu dekat di hati kami dan kami tidak pernah melupakan peminat di sini. Ia satu impian yang menjadi kenyataan apabila kami diundang untuk beraksi semula di Malaysia. Kami janji akan berikan persembahan terbaik buat semua yang hadir,” ujar Radja penuh semangat.
Sementara itu, kumpulan Wali yang ditubuhkan pada tahun 1999 di Ciputat, Tangerang Selatan, terdiri daripada Faank (vokalis utama), Apoy (gitar utama & komposer), Ovie (keyboard) dan Tommy (dram). Dengan aliran muzik pop, pop rock, pop religi dan pop melayu, Wali dikenali sebagai antara kumpulan yang dekat di hati pendengar di seluruh Asia Tenggara. “Syukur… Malaysia ibarat rumah kedua kami. Kami sentiasa dirindui oleh peminat di sini begitu juga kami yang merindui sambutan mesra dan juadah enak di Malaysia. Untuk konsert kali ini, kami akan tampil dengan persembahan berbeza daripada sebelumnya,” kata kumpulan Wali dalam satu kenyataan.
Pentas RadjaWali Live in Malaysia dianjurkan oleh Impian Al Fateh Sdn. Bhd. dan GIS Entertainment & Events, dengan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) sebagai penganjur bersama. Tiket kini mula dijual melalui laman web Fantopia.io, dan pembelian juga boleh dilakukan dengan lebih mudah menggunakan ShopeePay.
Harga tiket yang ditawarkan bermula daripada RM177 untuk kategori RW4, RM277 bagi RW3, RM377 untuk RW7, RM477 bagi kategori RW2 serta RW5 & RW6, manakala kategori VIP berharga RM977.
Konsert yang bakal berlangsung pada hari Sabtu, 10 Januari 2026 di Idea Live Arena, Petaling Jaya ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti-nantikan awal tahun depan, menghimpunkan dua legenda besar dalam satu pentas yang menjanjikan kenangan luar biasa buat semua pencinta muzik serantau.
0 Comments
Post a Comment