Kuala Lumpur bakal berdepan satu langkah keselamatan besar apabila total lockdown trafik akan dilaksanakan bermula 23 hingga 28 Oktober ini, melibatkan hampir keseluruhan kawasan utama di ibu negara termasuk KLCC, Putrajaya, dan Golden Triangle Kuala Lumpur. Penutupan ini dilakukan bersempena dengan persidangan pemimpin ASEAN yang turut disertai rakan dialog dari Amerika Syarikat, China, Afrika Selatan, Finland serta dihadiri oleh kira-kira 12,000 delegasi antarabangsa.
Menurut kenyataan rasmi Kementerian Luar Negeri, seramai 20,000 anggota keselamatan dari seluruh negara akan ditempatkan di sekitar lokasi persidangan bagi memastikan kawalan trafik, keselamatan serta kelancaran sepanjang acara berlangsung. Kawasan strategik di sekitar Kuala Lumpur akan diberi perhatian ketat bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap urusan rasmi dan keselamatan tetamu negara.
Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLC3) memaklumkan bahawa antara jalan utama yang akan terlibat dengan total lockdown termasuk Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Binjai, Persiaran KLCC, Jalan Tun Razak, Jalan Parlimen, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Damansara, Jalan Istana, Jalan Kuching dan Jalan Perak. Selain itu, beberapa persimpangan utama seperti Jalan Ampang–Jalan P. Ramlee, Jalan Sultan Ismail–Jalan P. Ramlee, Jalan Perak–Jalan P. Ramlee, Jalan Perak–Jalan Pinang, Jalan Stonor–Jalan Kia Peng dan Jalan Stonor–Persiaran KLCC turut akan ditutup sementara pada waktu tertentu.
Lockdown trafik ini turut membabitkan beberapa lebuh raya utama termasuk Maju Expressway (MEX), North-South Expressway (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta, Elite Expressway (KLIA–Putrajaya), New Klang Valley Expressway (NKVE) dari Subang ke Jalan Duta, Guthrie Corridor Expressway (GCE) serta KL–Seremban Expressway dari Sungai Besi ke pusat bandar. Sementara itu, Putrajaya Ringroad, laluan ke KLIA, dan Subang yang menuju ke Kuala Lumpur juga akan mengalami penutupan sementara dari masa ke semasa bergantung kepada jadual ketibaan delegasi.
Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan bahawa kakitangan awam yang tinggal dalam radius 25 kilometer dari kawasan terjejas dibenarkan untuk bekerja dari rumah sepanjang tempoh berkenaan. Orang ramai pula dinasihatkan agar mengelakkan perjalanan ke kawasan terbabit sekiranya tiada urusan penting, bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan pasukan keselamatan melaksanakan tanggungjawab mereka.
Langkah ini dijangka akan memberi impak besar kepada aliran trafik harian di ibu negara, namun ia dianggap perlu demi memastikan keselamatan dan kelancaran acara bertaraf antarabangsa yang bakal menjadi tumpuan dunia.
0 Comments
Post a Comment