Saat menutup Tur SAMA SAMA di Bogor pada 24 Mei lalu, salah seorang pemuzik yang menjadi tulang belakang pertunjukan ini telah berjanji sesuatu yang membuat peminat bersorak gembira. “Khabar baiknya adalah kami akan melanjutkan perjalanan. Kita bakal pergi ke Malaysia,” ujar Tulus ketika mengumumkan khabar gembira tersebut. Kini janji itu ditepati apabila Malaysia, khususnya Idea Live Arena di Kuala Lumpur, menjadi destinasi kelima dalam siri Tur SAMA SAMA yang dihimpunkan lima pemuzik hebat Nusantara iaitu Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf.
Tur SAMA SAMA di Malaysia bakal berlangsung pada 5 Disember 2025 bermula pukul 7.30 malam, mempertemukan lima figura berpengaruh industri muzik Indonesia dengan para peminat di Kuala Lumpur. Persembahan ini dijangka menjadi malam yang penuh emosi, harmoni dan magis apabila setiap artis bukan sahaja membawakan lagu popular masing-masing, tetapi juga berkolaborasi secara langsung di atas pentas dalam pelbagai format menarik – solo, duet, trio hingga kuintet.
Selaku penganjur bersama, PT Expo Indonesia Jaya (ExpoIndo), Tiga Dua Satu dan Thrive berasa teruja kerana dapat merealisasikan janji tersebut setelah menerima sambutan luar biasa di empat kota sebelumnya iaitu Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor. Menurut Udzir Harris dari Thrive, pengumuman ini merupakan satu mimpi besar yang akhirnya hampir direalisasikan selepas kejayaan luar biasa yang diraih di Indonesia. Bram Tulong dari ExpoIndo pula menambah bahawa persembahan di Malaysia ini bukan sekadar konsert, tetapi simbol apresiasi terhadap peminat yang begitu menghargai karya-karya kelima-lima artis tersebut.
Tiur Tobing dari Tiga Dua Satu turut mengingatkan agar para peminat tidak terlepas peluang untuk menyaksikan persembahan paling epik hujung tahun ini. “Sampai jumpa di Tur SAMA SAMA di Idea Live Arena pada 5 Disember 2025. Jangan sampai tidak membeli tiketnya kerana anda akan rugi terlepas momen sebuah tur kolaborasi paling epik di tahun ini,” katanya penuh semangat.
Tiket pra-jualan (presale) bagi Tur SAMA SAMA telah mula dijual sejak 29 September 2025 dan akan dilanjutkan dari 19 Oktober hingga 2 November 2025 atas permintaan ramai. Harga tiket bermula dari RM228 dengan sebelas kategori berbeza iaitu Bronze, Crystal, Silver, Diamond, Gold, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite. Tiket boleh didapati menerusi aplikasi BBO Events atau laman rasmi samasamatur.com.
Sal Priadi turut berkongsi keterujaannya untuk bertemu peminat di Malaysia sambil menjanjikan pengalaman persembahan yang berbeza daripada biasa. “Kami sangat tidak sabar untuk berkongsi persembahan dalam format kolaborasi yang tidak pernah kami lakukan di pentas selain Tur SAMA SAMA. Selamat menikmati format dinamik dari solo, duet, trio hingga kuintet kami,” ujarnya.
Tur SAMA SAMA bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah perjalanan muzik yang menyatukan lima seniman berjiwa besar dalam satu pentas untuk menghadirkan pengalaman yang mendalam kepada penonton. Bagi para peminat Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf, inilah peluang menyaksikan mereka tampil bersama dalam satu malam yang penuh emosi, kreativiti dan keintiman muzik Nusantara.
Untuk maklumat lanjut serta perkembangan terkini mengenai Tur SAMA SAMA, peminat boleh mengikuti akaun rasmi @samasamatur dan @thriveevents_my di platform media sosial. Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada malam istimewa ini di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2025. Persembahan yang pasti meninggalkan kenangan indah dalam sejarah muzik serantau.
0 Comments
Post a Comment