Aura Remy Ishak sebagai “Hero Pujaan Malaya” nyata tidak pernah pudar. Pelakon yang terkenal dengan kemampuan luar biasa dalam menjiwai setiap watak yang dibawakan ini kini kembali mewarnai layar perak dengan kehadiran yang lebih matang, penuh misteri dan sarat emosi menerusi filem seram terbaharu berjudul Qifarah.

Kembalinya Remy bukan sekadar kemunculan semula seorang pelakon popular, tetapi juga satu penegasan terhadap kekuatan dan relevansinya dalam dunia seni. Walaupun industri terus berkembang dengan wajah-wajah baharu, Remy masih menjadi pilihan utama para penerbit dan pengarah untuk membawa watak utama, menandakan pengaruhnya yang masih kukuh sebagai pelakon serba boleh yang digemari ramai.

Dalam Qifarah, Remy memegang watak Yusoff, seorang lelaki yang pulang ke tanah air setelah bertahun-tahun menetap di Kaherah bersama isteri dan anaknya. Kepulangannya ke rumah pusaka keluarga kerana ayahnya yang tenat membuka semula lembaran silam yang kelam kisah yang dipenuhi rahsia, dendam dan kegelapan yang tidak pernah benar-benar padam.

Watak Yusoff bukan sekadar seorang lelaki yang mencari kebenaran di sebalik misteri yang menyelubungi keluarganya. Dia adalah jiwa yang berperang dengan trauma masa lalu, terperangkap antara kasih sayang terhadap keluarganya dan ancaman kuasa jahat yang semakin menggugat. Dalam perjuangan itu, Yusoff tampil sebagai suami dan bapa yang tabah, melindungi insan tersayang sebelum semuanya terlambat.

Bagi Remy, watak Yusoff memberikan cabaran baharu yang memerlukan penghayatan mendalam. Menurutnya, sudah lama beliau tidak membintangi filem seram, dan naskhah Qifarah hadir dengan kekuatan cerita serta karakter yang memiliki intensiti tersendiri. “Bila saya baca skrip Qifarah, saya tahu watak Yusoff ini bukan sekadar karakter biasa. Ceritanya gelap, penuh emosi dan misteri itu yang membuatkan saya teruja untuk terlibat dalam projek ini,” ujar Remy dengan penuh semangat.

Sepanjang penggambaran, Remy turut berdepan beberapa pengalaman aneh di lokasi. “Kami tinggal di rumah itu selama dua setengah minggu untuk penggambaran. Satu malam, semasa saya sedang solat di tingkat atas, saya ternampak kelibat seseorang berpakaian batik. Saya ingatkan kru produksi, tapi keesokan harinya baru saya tahu rumah itu memang agak ‘keras’,” katanya sambil tersenyum mengenang pengalaman tersebut.

Qifarah kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara, menampilkan Remy Ishak dalam aksi penuh mendebarkan menentang kegelapan yang menghantuinya. Filem ini bukan sekadar kisah seram, tetapi juga perjalanan emosi tentang dosa, keinsafan dan kekuatan seorang lelaki yang sanggup bertarung demi melindungi mereka yang dicintai.