Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. dengan penuh rasa bangga mengumumkan penganjuran Konsert WINGS 40 Tahun: 4 Dekad Terbang Tinggi, yang akan berlangsung pada 28 November 2025 di IDEA LIVE Arena, 3 Damansara. Konsert ini merupakan hadiah istimewa buat para peminat setia kumpulan legenda rock tanah air, WINGS, sempena meraikan perjalanan gemilang mereka selama empat dekad dalam industri muzik Malaysia.
Menurut vokalis utama WINGS, Dato’ Awie, konsert kali ini bakal menampilkan kelainan yang belum pernah dipersembahkan sebelum ini. Beliau turut menjanjikan sebuah pengalaman persembahan yang akan meninggalkan memori manis buat setiap penonton yang hadir. Konsep dan butiran penuh konsert akan diumumkan pada sidang media rasmi yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd., Dato’ Eddy Amir, menjelaskan bahawa setiap pembeli tiket akan menerima barangan eksklusif sebagai tanda penghargaan, mengikut kategori tiket masing-masing. Ini menjadikan konsert tersebut bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu kenangan istimewa buat para peminat yang telah menyokong WINGS selama 40 tahun.
Sebanyak 500 tempat pra-pendaftaran telah dibuka bermula 17 Julai 2025 dengan tawaran diskaun istimewa sebanyak 10 peratus. Sambutan luar biasa diterima apabila lebih 1,000 pendaftaran direkodkan dalam tempoh hanya dua jam, dan jumlah tersebut terus meningkat melebihi 2,000 sehingga kini. Atas sokongan luar biasa itu, RPM telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh diskaun 10 peratus sehingga 20 Julai 2025, jam 11.59 malam.
Pra-pendaftaran biasa tanpa diskaun akan dibuka dari 21 hingga 24 Julai 2025. Mereka yang membuat pra-pendaftaran akan diberi keistimewaan untuk membeli tiket lebih awal daripada jualan umum pada 25 Julai 2025, jam 11 pagi. Langkah ini membolehkan peminat memilih tempat duduk pilihan mereka sebelum tiket dibuka kepada umum.
Jualan tiket umum akan bermula pada 30 Julai 2025 (Rabu) jam 11 pagi menerusi platform rasmi rpm.uberticket.asia, dengan harga bermula serendah RM240. Pembeli juga boleh menikmati kemudahan bayaran ansuran dua kali melalui platform Ubertickets.
Konsert WINGS 40 Tahun ini akan diadakan secara eksklusif dengan kapasiti terhad kepada 4,444 tempat duduk sahaja, tanpa kategori berdiri. Hanya individu berumur 12 tahun ke atas dibenarkan masuk ke lokasi konsert bagi memastikan keselesaan dan keselamatan semua penonton. RPM menjanjikan sebuah persembahan bertaraf antarabangsa dengan sistem bunyi dan pencahayaan berteknologi tinggi, serta menawarkan hadiah-hadiah lucky draw eksklusif kepada para penonton bertuah.
Pihak penganjur menasihatkan semua peminat agar tidak melepaskan sidang media rasmi yang akan datang, di mana pelbagai pengumuman menarik termasuk konsep penuh konsert dan hadiah eksklusif akan didedahkan. Untuk maklumat lanjut, peminat boleh mengikuti perkembangan terkini melalui media sosial rasmi RPM di Instagram, Facebook dan TikTok menerusi akaun @rpmevents.
0 Comments
Post a Comment