Dalam landskap muzik tempatan yang sentiasa berkembang, nama Amylea Azizan atau lebih dikenali sebagai Amylea kekal sebagai simbol konsistensi dan kualiti seni. Hampir dua dekad mengukir nama dalam industri, Amylea terus membuktikan keupayaannya menghasilkan karya yang bukan sahaja kekal relevan, malah berani meneroka sisi baharu tanpa mengorbankan identiti muziknya yang tersendiri.

Menjelang Ramadan 2026, Amylea tampil memperkenalkan “Binasa”, sebuah lagu runut bunyi (OST) untuk drama bersiri arahan pengarah tersohor Shahrulezad Mohameddin atau lebih dikenali sebagai Budak Ijat. Lagu ini dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 30 Januari 2026 dan dijangka membawa nafas segar kepada landskap OST tempatan.

Berbeza daripada karya balada yang sering sinonim dengan namanya, “Binasa” hadir dengan tempo pantas, tenaga agresif dan mood yang lebih berani. Lagu ini menampilkan sisi eksperimental Amylea yang dinamik, intens dan sarat dengan ketegangan emosi, selari dengan perkembangan konflik dalam naratif drama yang diiringinya.

Walaupun tampil dengan pendekatan muzik yang berbeza, kejujuran emosi dan kekuatan penceritaan kekal menjadi teras utama lagu ini. Lebih membanggakan, “Binasa” merupakan karya seratus peratus ciptaan Amylea, merangkumi komposisi, penulisan lirik serta penerbitan muzik.

Gabungan visi muzik Amylea dengan pengarahan Budak Ijat yang terkenal dengan penceritaan beremosi tinggi menjadikan “Binasa” bukan sekadar lagu tema, sebaliknya elemen penting yang menggerakkan emosi dan memperkukuh pengalaman tontonan penonton.

“Binasa” akan tersedia untuk penstriman di semua platform digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube bermula 30 Januari 2026, sebagai sebahagian daripada album runut bunyi drama bersiri Ramadan 2026.

Untuk tujuan promosi, temu bual serta maklumat lanjut, pihak media boleh menghubungi Jabatan Domestik Sony Music Entertainment Malaysia menerusi Veea Norman di talian +6 013 2032130 atau e-mel veea.norman@sonymusic.com, serta Fitrah Ilahi di talian +6 013 200813 atau e-mel fitrah.ilahi@sonymusic.com.